WANITA Syria yang berlindung di pusat penempatan sementara di Deir Ezzor, Syria, membawa kotak mengandungi barangan bantuan agensi PBB. - AFP
WANITA Syria yang berlindung di pusat penempatan sementara di Deir Ezzor, Syria, membawa kotak mengandungi barangan bantuan agensi PBB. - AFP
Agensi

London: Wanita Syria bukan saja menjadi mangsa kekejaman peperangan, malah turut menjadi mangsa eksploitasi seksual oleh sukarelawan lelaki yang terbabit dalam penghantaran bantuan bagi pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan kebajikan antarabangsa.

Menurut laporan BBC, pekerja bantuan mensyaratkan balasan seks kepada wanita yang mahu mendapatkan makanan dan pengangkutan.

Amaran mengenai salah guna kuasa itu sudah dikeluarkan sejak tiga tahun lalu, namun laporan terbaru mendedahkan amalan berkenaan masih berterusan di selatan Syria.

BBC mendakwa, menurut pekerja bantuan, eksploitasi itu semakin berleluasa menyebabkan wanita Syria enggan mengunjungi pusat agihan bantuan kerana bimbang disalah anggap cuba menawarkan tubuh demi mendapatkan bantuan.

Seorang pekerja mendakwa sesetengah agensi bantuan bersikap tutup mata terhadap perbuatan keji itu kerana tiada pilihan kecuali memerlukan pihak ketiga, biasanya penduduk dan pegawai tempatan untuk mengedarkan bantuan ke kawasan bahaya di Syria.

Kawasan itu lazimnya tidak menawarkan laluan masuk kepada sukarelawan antarabangsa.

Penilaian oleh Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) tahun lalu, menyimpulkan bantuan kemanusiaan disalah guna untuk mendapat balasan seksual di banyak kawasan di Syria.

Laporan bertajuk “Voices from Syria 2018” itu menyatakan: “Contoh membabitkan wanita atau gadis yang bersetuju memberi balasan seksual, termasuk perkahwinan singkat bagi membolehkan mereka mendapatkan bantuan, terutama makanan.”

Menurut laporan itu, pekerja biasanya meminta nombor telefon atau alamat, menumpangkan mereka pulang ke rumah bagi ‘mendapatkan balasan kemudiannya’ atau bantuan yang diagihkan perlu ‘dibalas dengan kunjungan ke rumah’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 3:51 AM