KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik bakal pengantin lelaki diikat pada tiang lampu sebelum mercun dibakar di belakangnya. - Agensi
KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik bakal pengantin lelaki diikat pada tiang lampu sebelum mercun dibakar di belakangnya. - Agensi
Agensi

Guangzhou (China): Seorang bakal pengantin terpaksa dirawat di hospital selepas punggungnya cedera akibat terkena mercun yang dibakar rakannya.

Bakal pengantin berkenaan dilaporkan menjadi mangsa gurauan rakannya sebelum dia berkahwin tidak lama lagi.

Satu rakaman video yang tersebar di media sosial di China menunjukkan lelaki itu diikat pada sebatang tiang lampu di tepi jalan di bandar ini.

Satu mercun papan berwarna merah dilihat diikat diatas punggung lelaki itu sebelum dibakar oleh rakannya.

Lelaki itu dilihat menjerit kesakitan ketika mercun itu meletup hingga sampai ke punggung mangsa.

Letupan mercun berkenaan turut mencetuskan asap tebal sehingga lelaki itu tidak kelihatan.

Seperti dijangka selepas aksi bahaya berkenaan belakang lelaki itu kelihatan cedera dan berdarah.

Bakal pengantin itu dilaporkan dibawa ke hospital oleh rakannya bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tidak dapat dipastikan sama ada majlis perkahwinan lelaki itu dapat diteruskan atau tidak.

Penduduk di China membuat pelbagai aksi bahaya sebagai satu bentuk gurauan terhadap rakan mereka yang bakal menamatkan zaman bujang.

Pada tahun lalu, seorang bakal pengantin lelaki di selatan China diikat pada belakang kenderaan dengan pita pelekat sebelum diarak ke seluruh bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:27 AM