SEMUA 15 suspek lanun yang ditahan tentera laut Indonesia di Batam. - Agensi
SEMUA 15 suspek lanun yang ditahan tentera laut Indonesia di Batam. - Agensi
Agensi

Batam: Unit Tindakan Cepat Armada Barat Tentera Luat Indonesia menangkap 15 lelaki disyaki lanun di Selat Singapura pada Ahad lalu.

Jurucakap tentera laut, Komander Ribut Eko Suyatno berkata, semua lelaki itu ditangkap ketika menaiki enam bot kayu.

Katanya, pihak berkuasa Singapura melaporkan sebuah tongkang yang ditarik sebuah bot tunda diekori 15 lelaki menaiki enam bot di perairan Indonesia pada 30 September lalu.

Tongkang itu belayar di Selat Melaka dan Selat Singapura.

“Semua suspek kini ditahan di pangkalan tentera laut di Batam untuk siasatan lanjut,” jelasnya yang dipetik Jakarta Post.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tongkang dan bot tunda itu tidak diserang kerana kru membuat perjanjian dengan semua lanun berkenaan.

“Suspek memberitahu mereka merancang merompak barang yang dibawa tongkang itu seperti besi lusuh, kabel dan minyak diesel.

“Bagaimanapun, kru bot tunda membayar lanun itu Rp15 juta (RM4,700) sebagai syarat tidak merompak barangan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 9:49 AM