ANGGOTA polis mendukung mayat bayi dipercayai antara mangsa yang maut dalam tragedi bot karam di Batam, kelmarin. - AFP
ANGGOTA polis mendukung mayat bayi dipercayai antara mangsa yang maut dalam tragedi bot karam di Batam, kelmarin. - AFP

Batam: Pasukan penyelamat Indonesia semalam menyambung semula operasi mencari lebih 40 mangsa yang hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam kelmarin.

Bagaimanapun, harapan untuk menemui mangsa yang hidup semakin tipis.

Ketua agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, misi mencari yang dihentikan kelmarin disambung semula pada awal pagi semalam membabitkan 280 anggota.

Menurutnya, 18 mayat sudah dikenal pasti dan 39 lagi penumpang bot pancung berkenaan diselamatkan.

“Bot ini membawa 101 penumpang dan 44 lagi masih hilang,” katanya.

Laporan awal sebelum ini menyebut 20 mayat ditemui dan bot itu membawa 93 penumpang.

Bot itu yang dipercayai membawa pendatang tanpa izin Indonesia dalam perjalanan dari satu lokasi di Johor menuju ke pulau Batam Indonesia.

Ketua agensi penyelamat wilayah Kepulauan Riau, Hardin Nafiih berkata, bot itu karam kira-kira 7.4 kilometer dari daratan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:54 AM