Bangkok: Perbicaraan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra yang berdepan tuduhan jenayah kerana cuai dijangka tamat pada Julai tahun depan dan keputusan dijangka tidak lama selepas itu, kata peguamnya semalam.

Yingluck didakwa cuai membabitkan skim pembelian beras yang membantunya memenangi pilihan raya umum pada 2011.

Skim itu bertujuan meningkatkan pendapatan petani dan popular dalam kalangan pengundi luar bandar tetapi Kementerian Kewangan menganggarkan ia menyebabkan kerugian AS$15 bilion (RM66.33 bilion).

“Kami menjangkakan mahkamah membuat keputusan pada tahun depan selepas soal balas saksi terakhir pada pertengahan Julai,” kata peguam Yingluck, Sommai Koosap.

Perbicaraan Yingluck yang ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2014, bermula pada 2015.

Yingluck yang berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun mengaku tidak bersalah.

“Saya akan berjuang hingga ke akhir,” kata Yingluck kepada wartawan semalam.

Skim itu dijadikan alasan untuk pembangkang menentangnya di Bangkok dan gerakan itu membawa kepada kejatuhan Yingluck.

Thailand adalah negara pengeluar beras terbesar dunia tetapi apabila skim itu runtuh, gelaran itu diambil alih India.

Skim itu memberi subsidi kepada petani yang menjual beras kepada kerajaan yang kadangkala dua kali lebih tinggi daripada harga pasaran. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 8:11 AM