Agensi

SEORANG lelaki Australia mencetuskan kekecohan apabila mengancam mahu membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Bali, semalam.

Sehari sebelum itu, lelaki berkenaan Gregory Lee Butler, 46, mencetuskan kekecohan dalam pesawat Air Asia yang mahu berlepas ke Kuala Lumpur memaksa penerbangan itu dibatalkan.

Menurut laporan Jakarta Post, selama lebih sejam, sehingga 6.18 petang, lelaki itu berdiri di tebing sambil menjerit ‘korup’ dan ‘kurang ajar’ dengan polis serta anggota keselamatan lapangan terbang berusaha memujuknya.

Dia akhirnya berjaya ditangkap beramai-ramai oleh anggota keselamatan selepas seorang rakyat Australia masuk campur memujuknya.

Menurut jurucakap lapangan terbang, Arie Ahsanurrohin, Butler dipercayai menghadapi masalah psikologi dan ubat mengatasi tekanan ditemui dalam begnya.

Isnin lalu, lelaki itu yang juga penumpang penerbangan AK 379 Air Asia membuat kecoh dalam pesawat apabila dia tiba-tiba mengetuk pintu kokpit ketika pesawat hendak berlepas dan berkata ada orang mahu membunuhnya menyebabkan juruterbang memutuskan membawa kembali pesawat ke tempat berlepas.

Menurut Arie, penumpang pesawat itu terpaksa bermalam Kuta sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pagi semalam, manakala Butler ditahan di lapangan terbang untuk siasatan.

“Selepas dia selesai di soal siasat. dia tiba-tiba bertindak demikian (mahu membunuh diri),” katanya.

Lelaki itu kini ditahan di Hospital Sanglah di Denpasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 4:54 PM
Lekaki Australia yang ditahan selepas mengancam membunuh diri di lapangan terbang di Bali, semalam.
Lekaki Australia yang ditahan selepas mengancam membunuh diri di lapangan terbang di Bali, semalam.