SEORANG petugas membersihkan patung tembaga berbentuk kucing.
SEORANG petugas membersihkan patung tembaga berbentuk kucing.
Agensi

PASUKAN arkeologi Mesir berjaya menemui puluhan mumia kucing, koleksi mumia kumbang sangat jarang ditemui dan makam firaun daripada Dinasti Kelima yang belum ‘diganggu’ manusia.

Mumia kumbang, yang pertama seumpamanya ditemui di kawasan itu adalah antara artifak ditemui di tujuh makam di pinggir kompleks piramid Raja Userkaf di bandar purba Saqqara di selatan Mesir.

Makam itu turut mengandungi patung kayu pelbagai haiwan lain dan burung.

“Ketika ahli arkeologi menyediakan lokasi itu untuk mempamerkan penemuan terbaru berkenaan, mereka menemui satu pintu ke sebuah makam yang belum dibuka,” kata Setiausaha Agung Majlis Agung Antikuiti Mesir Mostafa Waziri.

Menteri Antikuiti Khaled el-Enany berkata, penemuan itu dibuat sekumpulan ahli arkeologi Mesir dalam satu misi ekskavasi yang bermula April lalu.

Tiga daripada makam itu digunakan untuk menempatkan mumia kucing manakala satu daripada empat lagi kubur ditemui di tapak itu adalah milik seorang penjaga istana firaun dikenali sebagai Khufu-Imhat.

MUMIA kucing antara penemuan luar biasa oleh ahli arkeologi Mesir.
MUMIA kucing antara penemuan luar biasa oleh ahli arkeologi Mesir.

Pengarah ekskavasi kawasan Saqqara, Mohamed Youssef berkata, makam itu berasal daripada Dinasti Kelima kerajaan purba berkenaan dan sangat luar biasa kerana binaan dan pintunya masih kukuh, bermakna kandungannya belum diusik pencuri.

Mesir sering menghebahkan penemuan baru arkeologi dengan harapan dapat melonjakkan kembali sektor pelancongannya yang belum pulih selepas terjejas teruk susulan kekacauan politik pada 2011 yang menumbangkan pemerintahan diktator, Hosni Mubarak.

Dinasti Kelima firaun memerintah Mesir dari 2,500 Sebelum Masihi hingga 2,350 Sebelum Masihi, tidak lama selepas piramid Giza dibina.

Mostafa memberitahu, makam itu berada dalam runtuhan rabung gunung yang hanya sebahagian saja ditemui. Ia mungkin membawa kepada beberapa penemuan yang sama.

Kebanyakan patung yang ditemuvi di makam itu berbentuk kucing. Masyarakat purba Mesir menyembah tuhan Bastet atau tuhan kucing.

Beberapa patung kayu seperti singa, lembu dan helang turut ditemui.

Saqqara adalah lokasi kota purba Memphis, ibu kota kerajaan Mesir kuno selama lebih dua kurun.

SEBAHAGIAN kompleks piramid Userkaf yang hampir runtuh.
SEBAHAGIAN kompleks piramid Userkaf yang hampir runtuh.

Penduduk Mesir purba mengawet mayat kerana percaya mereka akan hidup di alam lain manakala haiwan yang diawet pula sebagai satu bentuk hantaran keagamaan.

“Kumbang yang diawet adalah sesuatu yang unik. Ia sesuatu yang sangat jarang ditemui.

“Ketika kami menemui keranda itu ia dipenuhi ukiran kumbang. Saya tidak pernah dengar benda seperti itu sebelum ini,” jelas Mostafa.

Puluhan mumia kucing dan patung haiwan itu juga ditemui termasuk satu patung tembaga yang melambangkan tuhan Bastet.

Pasukan itu turut menemui patung ular tedung dan buaya yang diwarnakan, beberapa koleksi haiwan lain serta objek seperti azimat, takar kanopi yang digunakan untuk menyimpan organ dalaman si mati, alat tulis dan bakul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 7:31 AM