MERAKAM gambar praperkahwinan di China.
MERAKAM gambar praperkahwinan di China.
Aniza Zainudin

Berbulan madu sambil menunaikan ibadat umrah secara ‘do it yourself’ (DIY) selepas lima bulan mendirikan rumah tangga menjadi satu kejayaan buat pasangan, Danial Arif Zalizan, 34, dan Mastura Zuber, 37.

Pengalaman melakukan aktiviti melancong gaya pengembara beg galas sebelum ini memberi kelebihan buat Danial Arif merancang percutian dua dalam satu demi menghabiskan masa berkualiti sambil beribadat bersama isteri.

Usahawan barangan pengembara DAZ ini mengakui idea untuk mengerjakan umrah secara sendiri timbul apabila mereka merangka bulan madu di Hagia Sophia.

“Permulaannya kami merancang untuk ke Turki pada Januari 2014, namun alang-alang sebaiknya kami melanjutkan pengembaraan ke Tanah Suci sekali gus menunaikan umrah secara DIY.

“Saya pernah menunaikan umrah sebanyak empat kali ketika bujang, jadi saya berkeyakinan untuk menguruskan proses visa dan mencari muassasah (organisasi gabungan antara mutawif atau pembimbing tawaf), namun sebaliknya bagi isteri.

“Selepas lapan hari berada di Turki, kami berdua menuju ke Madinah dan Makkah. Tidak dinafikan wujudnya cabaran dan ujian sepanjang berada di sana, sabar menjadi kunci utama buat kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Mastura mengakui perkongsian minat yang sama membuatkan kedua-dua mereka saling melengkapi sama ada dalam aspek tolak ansur, kerjasama, memahami antara satu sama lain serta bersikap lebih terbuka.

Menyifatkan dirinya agak sensitif, ibu kepada dua anak ini berkata, ketenangan dan kematangan suami membuatkan perjalanan dirancang menjadi lebih mudah meskipun sesekali menghadapi masalah tidak dijangka.

SENTIASA mementing percutian mesra anak.
SENTIASA mementing percutian mesra anak.

Setiap kali merancang percutian terutama di luar negara, pasangan ini sering membahagikan tugasan masing-masing membabitkan destinasi bakal dikunjungi.

Bukan sekadar meringankan beban merangka atur cara perjalanan, pembahagian ini turut memberi peluang kepada mereka untuk mendalami dan memahami kawasan baharu sekali gus sebagai persediaan seandainya perkara tidak diingini terjadi hingga merosakkan percutian.

Berkongsi cabaran mengembara dengan kehadiran anak, Mastura mengakui mereka tidak boleh merencana percutian yang terlalu ekstrem seperti kebiasaan.

Ini kerana Mastura dan Danial perlu menitikberatkan keupayaan dan keselesaan anak mereka, selain itu sentiasa bersedia menghadapi situasi tidak diingini.

Ceritanya, mereka pernah merancang untuk bercuti ke Eropah namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir apabila anak jatuh sakit.

Dalam keadaan seperti ini, Mastura mengakui mereka perlu berkorban, namun mujur terdapat perlindungan insurans.

Mencungkil perkenalannya dengan suami, Mastura berkata, mereka bertemu dan berkawan sejak 2012 menerusi perjumpaan komuniti penulis blog pengembara.

MENGEMBARA bersama cipta keserasian.
MENGEMBARA bersama cipta keserasian.

“Oleh kerana komuniti sering menganjurkan pertemuan dan siri percutian dalam negara, membuatkan hubungan kami menjadi lebih rapat.

“Bermula daripada aktiviti ini kami menjadi semakin rapat, selepas enam bulan berkawan kami membuat keputusan untuk berkahwin pada September 2013.

“Apa yang lebih menarik, setahun sebelum kami mula rapat dan merancang untuk mendirikan rumah tangga, komuniti pengembara yang kami sertai ini sudah merancang untuk bercuti ke Hong Kong, China dan Vietnam.

“Secara tidak sengaja, percutian bersama teman ini akhirnya menjadi peluang kepada kami berdua untuk merakamkan gambar praperkahwinan di dua negara berbeza, China dan Vietnam,” ceritanya yang memasang impian untuk bercuti ke New Zealand bersama keluarga kecilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:15 AM