KEINDAHAN taman dan kolam yang boleh dinikmati di ruang tamu kediaman.
KEINDAHAN taman dan kolam yang boleh dinikmati di ruang tamu kediaman.
Muhamaad Razis Ismail


SEBAIK melangkah masuk ke dalam kediaman ini, seolah-olah berada di sebuah villa.

Apa tidaknya, di ruang tamu terdapat sebuah tingkap besar yang menghadap sebuah taman peribadi yang dilengkapi kolam ikan dan pelbagai tumbuhan hijau seperti di Bali.

Penghuni atau pengunjung pasti akan berasa tenang dan damai, apabila dapat menikmati keindahan alam semula jadi seperti sebuah lukisan besar daripada ruang tamunya.

Di belakang kediaman ini pula terdapat sebuah kebun yang ditanam dengan pokok durian dan tempat menternak ayam serta angsa. Untuk masuk ke kebun, anda perlu melalui sebuah pintu gerbang yang ditempah khas dari tukang kayu mahir di Kelantan.

Lebih menarik, bilik tidur utama yang terletak di tingkat atas kediaman ini, sengaja dibina menghadap kebun untuk memberi ketenangan kepada penghuninya menikmati keindahan alam semula jadi.

Bahagian loteng yang dijadikan sebagai bilik menjahit turut mencuri tumpuan dengan penggunaan tingkap bulat, seolah-olah berada di dalam sebuah kapal.

Rumah dua tingkat di Kampung Sungai Karang, Kuantan, Pahang ini mula dibina pada 2018 dan siap sepenuhnya setahun kemudian adalah hasil cetusan idea Nazrah Liyana Hamzah, 40, bersama suaminya, Asraf Ab Rahman, 40, dan arkitek yang dilantik.

Nazrah berkata, kediaman yang dilengkapi tiga bilik tidur, sebuah surau dan sebuah loteng itu mengetengahkan konsep kontemporari yang lebih sederhana serta tidak terlalu menonjol.

PENGGUNAAN cermin di beberapa bahagian rumah untuk mendapatkan seberapa banyak cahaya semula jadi.
PENGGUNAAN cermin di beberapa bahagian rumah untuk mendapatkan seberapa banyak cahaya semula jadi.

DAPUR ringkas dan selesa.
DAPUR ringkas dan selesa.

"Jika dilihat, di kediaman ini saya tidak menggunakan banyak perabot dan hiasan. Perabot yang sedia ada sememangnya berfungsi dan digunakan sepenuhnya bukan dijadikan sebagai hiasan semata-mata.

"Oleh kerana bukaan rumah ini yang terhad, tanpa perabot yang banyak, ruang akan nampak lebih luas, tidak sesak dan memudahkan pergerakan," katanya.

Menurutnya, kediaman berkenaan banyak menggunakan warna alam semula jadi seperti warna kayu, simen dan batu.

"Malah untuk material lantai, perabot dan hiasan dalaman juga, saya banyak menggunakan kayu cengal bagi disesuaikan dengan konsep yang ingin diketengahkan," katanya.

Mengulas lanjut, untuk pembinaan kediaman itu, pasangan berkenaan turut mengetengahkan konsep rumah hijau yang lebih mesra dengan alam semula jadi.

Katanya Nazrah, melalui konsep ini ia bukan sahaja menjimatkan tenaga dan kos malah memberi keselesaan serta persekitaran yang sihat kepada penghuninya.

"Antara yang kami lakukan selepas berbincang dengan arkitek adalah menggunakan cermin di beberapa bahagian rumah untuk mendapatkan seberapa banyak cahaya semula jadi.

"Selain itu, kami dapat menikmati dan berasa lebih 'mesra' serta rasa terbuka dengan landskap semula jadi yang berada di sekeliling rumah.

PENGHUNI akan berasa lebih dekat landskap semula jadi yang berada di sekeliling rumah.
PENGHUNI akan berasa lebih dekat landskap semula jadi yang berada di sekeliling rumah.

NAZRAH (kanan) bersama keluarganya.
NAZRAH (kanan) bersama keluarganya.

"Untuk itu, kami tidak menggunakan langsir dan hanya meninggikan tembok dengan menggunakan batu merah di sekeliling rumah untuk melindungi privasi penghuni. Langsir hanya digunakan di bilik tidur utama yang terletak di tingkat atas yang menghadap jalan," katanya.

Menurutnya kediaman ini sengaja dibina tinggi untuk memastikan pengaliran udara di dalam rumah sentiasa dalam keadaan baik.

"Pengaliran udara di dalam rumah amat penting untuk mengurangkan rasa bahang dan mengelakkan udara panas terperangkap sekali gus dapat memberi keselesaan kepada penghuni.

"Selain itu, kediaman ini turut menggunakan sistem panel solar untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik," kataya.

Jelasnya, dalam mengubah suai dan menata hias kediaman aspek paling penting yang perlu dititik beratkan adalah keselesaan dan ketenangan kepada penghuni.

"Seperti saya, setiap kali pulang dari bekerja, penat itu terus hilang apabila tiba di rumah danseolah-olah mood sedang pergi bercuti.

"Oleh itu, saya nasihatkan supaya jangan terlalu terikut trend dan dapatkan khidmat pihak yang lebih mahir untuk mengubah suai dan menata hias kediaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 7:01 AM