TANAMAN akuatik untuk tatarias kolam.
TANAMAN akuatik untuk tatarias kolam.
Nurul Husna Mahmud

KOLAM hiasan antara struktur mampu memberi nilai tambah kepada landskap dalam taman di kediaman anda.

Bayangkan tatkala bersantai, bunyi air mengalir dan dilengkapi ornamen seperti ikan pastinya mampu menyuntik elemen terapeutik kepada pemiliknya.

Persekitaran juga lebih menarik dengan adanya tanaman akuatik bukan saja mampu memberi impak indah malah membantu penyelenggaraan kolam.

Sebenarnya terdapat pelbagai pilihan tumbuhan akuatik boleh diletakkan dalam kolam hiasan. Tetapi anda boleh mulakan langkah menghias struktur itu dengan lima pilihan tumbuhan akuatik ini:

1. Teratai

Teratai atau nama genus (kelas tumbuhan) Nymphaea boleh didapati dalam pelbagai warna lembut dan elegan seperti biru, merah, kuning, putih dan merah muda.

Daun tanaman jenis ini biasanya berbentuk bulat, melebar, mengapung dan menahan bunganya yang tumbuh di atas.

TERATAI menampilkan warna yang lebih menyerlah dan elegan.
TERATAI menampilkan warna yang lebih menyerlah dan elegan.

2. Seroja

Rupa tumbuhan akuatik ini saling tidak tumpah seperti teratai tetapi berbeza kerana ia daripada genus Nelumbo. Teratai berbunga tepat di atas daunnya, sedangkan seroja memiliki tangkai tunggal yang kukuh tumbuh tegak menahan daun dan bunganya di atas permukaan air.

Bentuk daun bunga seroja seakan-akan bergerigi. Manakala kelopak bunga seroja lebih lebar dan tidak runcing selain jumlahnya kurang berbanding teratai.

SEROJA kelopaknya lebih lebar.
SEROJA kelopaknya lebih lebar.

3. Keladi bunting

Nama saintifiknya Eichhornia crassipes, tetapi ia mempunyai banyak nama tempatan.

Warna bunganya putih ungu dipadankan pula dengan daunnya melebar di hujung tangkai yang kembung.

Sifatnya begitu cepat membiak menyebabkan ada orang melihat tumbuhan ini sebagai tanaman perosak kerana boleh mengganggu pertumbuhan tanaman hiasan.

BUNGA keladi bunting ungu.
BUNGA keladi bunting ungu.

4. Papirus air

Tanaman hijau unik ini mampu hidup di air dan di darat sehingga dikenali sebagai tanaman semi-akuatik. Ia mampu tumbuh sehingga dua meter tinggi dan rupanya tidak ubah seperti pokok buluh kerana daunnya yang panjang serta runcing. Ia boleh meredupkan persekitaran kolam.

5. Telipok

Wajib memiliki tanaman ini sebagai penghias kolam apatah lagi jika kolam anda mempunyai saiz yang besar kerana daunnya yang lebar menyerupai simbol bentuk hati. Bunganya pula berwarna putih, bertekstur sangat lembut seperti kepingan salji yang di atas permukaan air menyebabkan ramai menggelarnya ‘water snowflake.’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 4:52 PM