POKOK janda kaya.
POKOK janda kaya.
Zaitie Satibi


POKOK janda kaya yang juga dikenali juga sebagai musa indah adalah satu daripada pokok hiasan. Nama saintifiknya ialah Mussaenda pubescens dan berasal daripada keluarga Rubiaceae.

Sifat pokok ini yang berbunga lebat sepanjang tahun menyebabkan ia digelar janda kaya. Ia mudah ditemui dan sering dijadikan tanaman hiasan sama ada di laman rumah mahupun di tepi jalan.

Pokoknya sederhana besar dan batangnya pula sederhana keras. Pokok ini menjadi rimbun jika dahannya selalu dipangkas. Bunganya pula ada pelbagai saiz dan warna sama ada kecil berwarna merah, bunga lebar merah jambu atau saiz sederhana berwarna putih.

Sejenis tumbuhan renek dengan bunga yang lebat, pokok ini memerlukan cahaya penuh, suhu panas dan lembap, tanah gembur berpasir dan tidak bertakung air serta air yang sederhana.

Boleh dibiakkan menggunakan keratan dahan hijau dan tut, namun ia memerlukan penjagaan yang berterusan supaya pokoknya tidak tumbuh meliar serta sukar dikawal pertumbuhannya.

Daunnya yang berwarna hijau tua dan berbentuk bujur lonjong itu mempunyai urat daun jelas kelihatan. Bagaimanapun, pokok ini juga dikatakan mempunyai nilai perubatan terutama bahagian batang, daun dan akarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 5:30 AM