EMAS secara umumnya pelindung nilai terhadap inflasi. FOTO Amirudin Sahid
EMAS secara umumnya pelindung nilai terhadap inflasi. FOTO Amirudin Sahid
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Data inflasi di Amerika Syarikat (AS) pada Mac lalu yang berada pada kadar 8.5 peratus dan paling tinggi dalam tempoh empat dekad ini dikatakan punca harga emas menurun.

Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi itu mungkin penyebab harga emas terjejas sedikit.

Beliau berkata, emas secara umumnya pelindung nilai terhadap inflasi.

"Sifatnya itu sebagai komoditi yang sangat berharga diakui dunia.

"Majoriti permintaan emas global atau 90 peratus ditumpukan kepada barang kemas," katanya.

Namun, beliau berkata, terpulang selera risiko masing-masing dalam memutuskan untuk melabur dalam emas atau saham serta sebagainya.

Tetapi, katanya, emas sekurang-kurangnya semua tahu nilainya berharga berbanding pelaburan yang masih belum jelas seperti kripto.

"Jika kita pegang emas paling kurang pun kita boleh gadai. Mudah cair.

"Itu sudah cukup kuat sebagai penyebab untuk sesiapa sahaja membeli dan memiliki emas.

"Emas memang dikenali global sebagai komoditi yang sangat berharga. Nilainya walaupun ada turun naik seperti yoyo, tetapi umumnya masih sangat berharga," katanya.

Harga emas dijangka terus menyusut dalam tempoh jangka pendek didorong pengukuhan dolar AS dan kelemahan yuan China.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:10 PM