ROBERT Kuok.
ROBERT Kuok.
Nur Amira Mohd Hedzer


Kuala Lumpur: Nilai kekayaan keseluruhan 50 bilionair paling kaya di Malaysia meningkat dua peratus kepada AS$83.4 bilion tahun ini, demikian menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Forbes Asia 2024.

Peningkatan itu disokong oleh kenaikan sembilan peratus pasaran saham Malaysia sejak senarai terakhir 50 Terkaya Malaysia dikeluarkan oleh majalah perniagaan terkemuka itu, namun ia diimbangi oleh kejatuhan nilai ringgit.

Tan Sri Robert Kuok, yang meraikan ulang tahun ke-100 tahun lalu terus menduduki tempat pertama dalam senarai terkini Forbes dengan nilai bersih AS$11.5 bilion.

Beliau merupakan salah seorang bilionair tertua di dunia yang mengasaskan Kumpulan Kuok sejak 75 tahun lalu di Johor Bahru dan merupakan usahawan gula, beras dan tepung gandum serta membina syarikat diasaskannya menjadi sebuah konglomerat yang berkembang maju.

Di kedudukan kedua dengan nilai bersih AS$8.8 bilion ialah Tan Sri Quek Leng Chan, Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, yang mengekalkan kedudukan walaupun nilai bersihnya merosot daripada AS$10.2 bilion tahun lalu.

Kedudukan lima teratas menyaksikan beberapa perubahan dengan adik-beradik Teh, yang mewarisi kepentingan dalam Public Bank daripada mendiang bapa mereka, Tan Sri Teh Hong Piow, menambah sedikit kekayaan untuk berada di tempat ketiga dengan nilai bersih AS$5.4 bilion.

Menurut Forbes Asia, adik beradik Teh menggantikan hartawan aluminium, Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya, yang jatuh ke tempat kelima disebabkan harga dan permintaan untuk logam yang lemah menyebabkan nilai bersih mereka jatuh kepada AS$5.3 bilion daripada AS$5.8 bilion tahun lalu.

Sementara itu, keuntungan hartanah melonjakkan apabila satu lagi kumpulan pewaris, adik beradik Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng di tempat keempat sekali gus berada dalam kedudukan lima teratas buat kali pertama dengan nilai bersih AS$5.35 bilion, daripada AS$4.6 bilion tahun lalu.

Yeow Chor mengendalikan syarikat minyak sawit keluarga, IOI Corp manakala Yeow Seng menyelia IOI Properties dan sedang bersedia untuk membuka kompleks pejabat berbilion dolar di daerah pusat perniagaan Singapura.

Forbes Asia berkata, kenaikan terbesar dalam senarai tahun ini dari segi dolar dan peratusan ialah Tan Sri Francis Yeoh dan adik-beradiknya apabila mereka menambah tiga kali ganda gabungan kekayaan kepada AS$4.7 bilion dan melonjak tujuh tempat untuk berada di tempat ketujuh dalam senarai berkenaan.

Saham YTL, yang bekerjasama dengan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Nvidia untuk membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) pusat data di Johor telah mengalami kenaikan yang ketara.

Satu lagi hartawan yang menikmati peningkatan yang ketara ialah Tan Sri Jeffrey Cheah, apabila langkah Sunway menceburi bidang bidang penjagaan kesihatan untuk pertumbuhan masa depan membolehkan kekayaan bilionair itu naik dua kali ganda kepada AS$2.4 bilion untuk berada di tempat kelapan, sekali gus kali pertama menembusi senarai 10 teratas.

Senarai 50 bilion paling kaya Malaysia tahun ini juga menerima empat muka baharu, termasuk dua pewaris iaitu keluarga Chen di tempat ke-18 dengan nilai bersih AS$1.1 bilion yang mewarisi kekayaan kasino Tan Sri Dr Chen Lip Keong, yang meninggal dunia pada Disember lalu serta keluarga Gnanalingam di tempat ke-12 dengan nilai bersih AS$1.6 bilion selepas Pengasas Westports, Tan Sri G Gnanalingam meninggal dunia Julai lalu.

Forbes Asia berkata, berkata, nilai bersih minimum untuk melayakkan diri ke senarai itu ialah AS$320 juta, meningkat daripada AS$315 juta pada 2023.

10 bilionair paling kaya di Malaysia

1. Tan Sri Robert Kuok: AS$11.5 bilion

2. Tan Sri Quek Leng Chan: AS$8.8 bilion

3. Adik beradik Teh: AS$5.4 bilion

4. Lee Yeow Chor dan Yeow Seng: AS$5.35 bilion

5. Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradik: AS$5.3 bilion

6. Tan Sri T Ananda Krishnan: AS$4.8 bilion

7. Tan Sri Francis Yeoh dan adik-beradik: AS$4.7 bilion

8. Tan Sri Jeffrey Cheah: AS$2.4 bilion

9. Tan Sri Lim Kok Thay: AS$2.2 bilion

10. Chia Song Kun: AS$1.8 bilion

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 1:40 PM