Bangunan KWSP. - FOTO NSTP
Bangunan KWSP. - FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari kaum Cina mencatatkan jumlah simpanan tertinggi sebanyak RM613.68 bilion hasil caruman daripada 4.37 juta ahli, setakat 31 Disember 2023.

Bagi Melayu pula, jumlah simpanan adalah sebanyak RM332 bilion berdasarkan caruman 8.13 juta ahli.

Berdasarkan maklumat yang diberikan KWSP dalam taklimat media pada pengumuman dividen KWSP bagi 2023 hari ini, ia menunjukkan bahawa jumlah simpanan bagi 16.07 juta ahli KWSP mencecah RM1.087 trilion dengan kaum Cina mencatatkan jumlah simpanan tertinggi.

Secara purata, kaum Cina mempunyai simpanan RM140,285 bagi seorang ahli dengan median simpanan semua umur sebanyak RM43,595 serta median simpanan bagi ahli berumur bawah 55 tahun sebanyak RM48,627.

Bagi kaum Melayu, purata simpanan adalah sebanyak RM40,827, dengan median simpanan semua umur sebanyak RM7,838 dan median simpanan bagi ahli berumur bawah 55 tahun sebanyak RM8,950.

Bagi kaum India pula jumlah simpanan bagi 1.33 juta ahli adalah sebanyak RM89.67 bilion dengan purata simpanan sebanyak RM67,602.

Jadual simpanan ahli mengikut peringkat simpanan.
Jadual simpanan ahli mengikut peringkat simpanan.

Sementara itu, berdasarkan jadual simpanan ahli KWSP mengikut peringkat simpanan, kumpulan T20 mencatatkan jumlah simpanan tertinggi sebanyak RM896.70 bilion walaupun mencatatkan jumlah ahli paling sedikit iaitu seramai 3.21 juta.

Secara purata, ahli dari kumpulan T20 mempunyai simpanan sebanyak RM278,941 seorang dengan median simpanan sebanyak RM170,266.

Manakala, kumpulan M40 dengan 6.43 juta ahli mempunyai simpanan sebanyak RM180.23 bilion.

Secara purata ahli M40 mempunyai simpanan sebanyak RM28,032 seorang dengan median sebanyak RM20,660.

Kumpulan B40 pula mencatatkan jumlah ahli yang sama banyak dengan M40 namun jumlah simpanan yang berbeza iaitu sebanyak RM11.01 bilion dengan purata simpanan sebanyak RM1,713 seorang.

Bagi tahun 2023, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.3 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM7.5 bilion.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Jadual simpanan ahli mengikut kaum.
Jadual simpanan ahli mengikut kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 2:08 PM