AIRASIA sedia 5.2 juta tempat duduk setahun.
AIRASIA sedia 5.2 juta tempat duduk setahun.

AIRASIA meningkatkan kapasiti untuk perkhidmatan antara China-Malaysia and India-Malaysia sebanyak 230 penerbangan mingguan bermula pada suku pertama 2024 seterusnya menyediakan sehingga 5.2 juta tempat duduk setahun.

Peningkatan ketara kapasiti melalui penerbangan AirAsia Malaysia (kod syarikat penerbangan AK) dan AirAsia X Malaysia (kod syarikat penerbangan D7) ini sokongan kepada jangkaan lonjakan permintaan perjalanan berikutan pengumuman kerajaan mengenai kemasukan tanpa visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India ke Malaysia bermula 1 Disember 2023.

Pengumuman juga bertepatan dengan pengumuman pelonggaran sekatan perjalanan rakyat Malaysia ke China baru-baru ini, mulai 1 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, ini berita yang dinanti-nantikan bukan sahaja untuk AirAsia, tetapi untuk rakyat di seluruh negara.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk inisiatif memfokuskan kepada rancangan masa hadapan negara.

"Kemasukan 30 hari tanpa visa untuk warga China dan India pasti memberi rangsangan yang dialu-alukan untuk sektor pelancongan dan ekonomi di Malaysia menjelang musim kemuncak perjalanan akan datang sambil meningkatkan hubungan ekonomi," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam menambah: "Kami melihat pengumuman ini bukan sahaja sebagai peluang meningkatkan kesalinghubungan serantau dalam dua pasaran terbesar kami, malah pemangkin k pertumbuhan ekonomi yang ketara.

"Dengan anggaran 4.6 juta tetamu dijangka melakukan perjalanan melalui rangkaian luas kami yang terdiri daripada 26 laluan di China dan India pada tahun 2024 sahaja, kami sedia memainkan peranan penting mencapai sasaran kemasukan pelancong di Malaysia iaitu sebanyak 25 juta pelancong antarabangsa pada setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 8:04 AM