Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kuala Lumpur: Berikutan pengumuman oleh pihak kerajaan Malaysia mengenai pemansuhan pemakaian pelitup muka dalam pesawat, AirAsia Malaysia (Kod Penerbangan AK) turut memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka di dalam penerbangannya berkuatkuasa serta-merta.

Pemakaian pelitup muka di dalam penerbangan AirAsia Malaysia adalah atas pilihan tetamu, kecuali jika mereka melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang memerlukan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam.

Namun, tetamu yang ingin memakai pelitup muka di dalam penerbangan boleh terus berbuat demikian.

AirAsia dalam kenyataan berkata, keselamatan tetamu adalah keutamaan dan pihaknya akan terus beroperasi dengan standard keselamatan yang ketat.

"Semua pesawat kami dilengkapi dengan penapis HEPA yang mampu menghapuskan 99.99 peratus zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

"Udara kabin disegarkan sepenuhnya setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara adalah pada tahap maksimum sepanjang penerbangan mereka.

"Kami akan terus mengemas kini garis panduan mengenai penggunaan pelitup muka di dalam penerbangan di semua pasaran kami di samping kami kembali menerbangkan tetamu ke destinasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 4:37 PM