Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Harvey Norman, jenama produk kelengkapan rumah terkemuka, yakin dengan pasaran di negara ini dan merancang untuk membuka 80 cawangan di Malaysia menjelang akhir 2028.

Pengarah Urusan Harvey Norman Asia, Kenneth Aruldoss berkata, sejak berada di pasaran pada 2003, Harvey Norman mempunyai 31 cawangan setakat ini dan akan terus komited meraikan perjalanan dua dekad yang hebat bersama rakyat Malaysia.

Katanya, bukan itu sahaja, sambutan ke-20 tahun Harvey Norman akan memberi fokus kepada komitmen kumpulan untuk menawarkan pelbagai produk terkemuka dan pengalaman membeli-belah pelbagai saluran, dalam dan luar talian yang lancar untuk warga Malaysia.

"Dalam piagam kami untuk menjadikan 'Kediaman Anda, Kini Lebih Dekat', kami meneruskan usaha untuk menjadi teman yang boleh dipercayai dalam mewujudkan persekitaran kediaman sempurna di negara ini.

"Selain itu, pengembangan berterusan Harvey Norman kepada 80 rangkaian di Malaysia menjelang 2028 bukan sahaja bakal memajukan ekonomi Malaysia melalui pelaburan kami di negara ini, tetapi juga akan meningkatkan peluang pekerjaan," katanya kepada media majlis makan tengah hari yang diadakan di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Australia di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Simon Fellows.

Sementara itu, Simon Fellows berkata, Harvey Norman ialah jenama Australia yang ikonik dan kedainya boleh ditemui di bandar besar dan kecil di seluruh Australia, memberikan sumbangan besar kepada ekonomi tempatan seperti mana yang mereka lakukan di Malaysia.

"Terdapat beberapa jenama Australia digemari ramai di pusat beli-belah di seluruh Malaysia dan ini contoh hubungan dagangan dan perniagaan kukuh dan terus berkembang.

"Francais Malaysia juga boleh didapati di Australia, dan kami terus melihat perniagaan dari Malaysia melabur di dalam ekonomi kami," katanya.

Di dalam landskap industri jualan yang telah berubah berikutan pandemik Covid-19, Harvey Norman kekal di barisan hadapan industri, memperkasakan pengguna dengan penyelesaian inovatif dan pengalaman membeli-belah pelbagai saluran yang lancar, disesuaikan dengan keperluan warga Malaysia.

Harvey Norman juga komited menawarkan akses yang mudah kepada pelanggan, melalui kepelbagaian perkhidmatan seperti pertukaran produk dan pilihan pembayaran yang mudah.

Ini termasuk pembayaran yang fleksibel dengan pilihan seperti ansuran faedah 0 peratus sehingga 36 bulan bagi semua kad kredit bank utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 7:01 AM