MPOA menggesa kerajaan supaya sokongan cukai penanaman semula diberikan kepada sektor swasta bagi menarik penanaman semula pada skala yang lebih besar dipercepatkan. FOTO Arkib NSTP
MPOA menggesa kerajaan supaya sokongan cukai penanaman semula diberikan kepada sektor swasta bagi menarik penanaman semula pada skala yang lebih besar dipercepatkan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan mengembalikan kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus dalam Belanjawan 2024, berbanding tiga peratus ketika ini.

Memandangkan kos pengeluaran yang semakin meningkat, persatuan itu turut memohon kerajaan untuk menyemak semula ke atas ambang harga WPL sebanyak RM500 satu tan minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,500 satu tan bagi Semenanjung Malaysia dan kepada RM4,000 satu tan bagi penanam Sabah dan Sarawak.

MPOA juga meminta insentif cukai untuk menyokong inisiatif penanaman semula berskala besar, mengiktiraf peranan kritikalnya dalam melindungi produktiviti masa depan sektor untuk menyokong rantaian bekalannya dan mengekalkan daya saing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Joseph Tek Choon Yee berkata, sementara menunggu penanam menjalankan program tanam semula setiap tahun, kawasan tanam semula lebih besar harus diusahakan segera.

"Penanaman semula dipercepatkan membabitkan sektor swasta di seluruh negara adalah penting untuk mencapai kawasan penanaman semula yang lebih luas bagi memastikan kemampanan sektor kelapa sawit dengan sokongan berterusan terhadap rantaian bekalannya sambil meningkatkan produktiviti dengan bahan tanaman baharu dan amalan pertanian yang lebih baik," katanya pada Persidangan Minyak Sawit Kebangsaan MPOA 2023, semalam.

Tek berkata, statistik yang mengejutkan itu mendedahkan bahawa pada masa ini terdapat 660,000 hektar, atau kira-kira 11.6 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit negara, dengan pokok berusia lebih 25 tahun dan terlewat untuk penanaman semula.

Beliau menarik perhatian bahawa menjelang 2027, kawasan sawit tua akan meningkat kepada 770,000 hektar, jika kadar penanaman semula berterusan kurang daripada dua peratus daripada jumlah kawasan tanaman setahun.

"Menjelang 2027, terdapat hampir dua juta hektar, iaitu 33 peratus daripada jumlah kawasan yang ditanam, mempunyai pokok berumur 20 tahun ke atas," katanya.

Memandangkan keadaan umur kelapa sawit yang semakin menua itu, MPOA menggesa kerajaan supaya sokongan cukai penanaman semula diberikan kepada sektor swasta bagi menarik penanaman semula pada skala yang lebih besar dipercepatkan.

Mengenai isu buruh, Tek berkata persatuan itu merayu supaya pembekuan ditarik balik dan penambahan kuota pengambilan pekerja asing untuk sektor perladangan.

Beliau berkata pelarasan ini diperlukan untuk memastikan operasi sektor itu berterusan serta menangani jurang kemahiran dalam kalangan tenaga kerja asing yang akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 7:00 AM