Tan Sri Tony Fernandes
Tan Sri Tony Fernandes

Kuala Lumpur: Capital A (dahulunya AirAsia Group) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Garuda Indonesia Group, syarikat penerbangan nasional Indonesia untuk bekerjasama secara strategik merentasi pelbagai bidang perniagaan.

Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, kedua-dua syarikat penerbangan itu berkata, MoU itu menyaksikan pengembangan rangkaian merentasi pelbagai bidang perniagaan, termasuk perkhidmatan penerbangan komersial antara AirAsia dan Citilink, perkhidmatan logistik dengan Teleport dan Garuda Indonesia Cargo serta pembaikan dan baik pulih penyelenggaraan (MRO) dengan Asia Digital Engineering (ADE), yang dimiliki oleh Capital A, dan anak syarikat Garuda Indonesia Group, GMF AeroAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama itu mengukuhkan hubungan sedia ada antara mereka.

"Mudah-mudahan, pada tahun mendatang, langkah ini diingati sebagai hari kita menukar penerbangan Asean selama-lamanya, bukan sahaja dalam syarikat penerbangan, tetapi juga MRO dan logistik.

"Saya tidak menyangka logo AirAsia dan Garuda berada di meja yang sama. Ini impian, dan ini boleh pergi sangat jauh," katanya pada majlis menandatangani MoU di Jakarta.

Fernandes berkata, walaupun potensi dari segi bilangan penumpang, hasil dan kargo tidak boleh diukur berikutan dengan kerjasama itu, tetapi beliau percaya impak menjadi sangat besar kedua-dua kumpulan sebagai syarikat tersenarai dan juga untuk negara.

Presiden dan CEO Garuda Indonesia Irfan Setiaputra berkata, perkongsian strategik itu manifestasi komitmen syarikat terus berkembang secara bersama, mewujudkan ekosistem industri penerbangan yang lebih tangkas dan adaptif dengan bertindak balas terhadap cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 8:31 AM