CO-OPBANK Pertama. FOTO Arkib NSTP
CO-OPBANK Pertama. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) akan meluaskan lagi cawangannya di Borneo dengan membuka tiga lagi cawangan di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, tiga cawangan itu adalah di Matang Jaya dan Miri, Sarawak dan satu lagi di Sandakan, Sabah.

Katanya, ketiga-tiga cawangan terbabit dijangka dibuka pada suku keempat tahun ini.

"Pembukaan ketiga-tiga cawangan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat dan kita melihat CBP mampu untuk memenuhi keperluan masyarakat di cawangan baharu.

"Di Sarawak, CBP akan membuka dua cawangan lagi iaitu di Matang Jaya dan juga di Miri yang menjadikan CBP mempunyai tiga cawangan di negeri ini selepas cawangan pertamanya adalah di Jalan Kulas, Kuching," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, di Sabah pula, cawangan ketiga akan beroperasi di Sandakan selepas CBP membuka cawangan di Kota Kinabalu dan Tawau.

Khairil berkata, pembukaan cawangan baharu ini adalah salah satu strategi CBP untuk membawa produk dan perkhidmatan perbankan secara terus kepada penduduk di Sabah dan juga Sarawak.

"Pembukaan cawangan ini juga selari dengan Pelan Strategik CBP 2022-2026, di mana kita menyasarkan untuk mempunyai 36 cawangan di seluruh negara dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata, CBP akan terus memperkenalkan beberapa produk dan model perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggan CBP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 2:59 PM