TEO (dua dari kanan), Azrul Fakhzan (kiri) dan Chuah (kanan) bersama pemenang utama Peraduan Jom Balik Kampung Bersama Sogo & PayNet. FOTO HAZREEN MOHAMAD
TEO (dua dari kanan), Azrul Fakhzan (kiri) dan Chuah (kanan) bersama pemenang utama Peraduan Jom Balik Kampung Bersama Sogo & PayNet. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mahaizura Abd Malik dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Selepas berentap dalam dua cabaran pada pusingan akhir Peraduan Jom Balik Kampung Bersama Sogo & PayNet, dua pelanggan bertuah Sogo Malaysia daripada 25 finalis dinobatkan sebagai pemenang sekali gus membawa pulang kereta baharu masing-masing.

Pemenang hadiah utama, Amir Ali Rahim membawa pulang Perodua Aruz 1.5X Auto manakala hadiah kedua, Perodua Bezza 1.3X Auto menjadi milik suri rumah, Nor Hidayah dari Johor Bahru, Johor.

Selain itu, pemenang hadiah ketiga meraih kad hadiah Sogo bernilai RM10,000 manakala 22 peserta lagi menerima saguhati RM1,000 kad hadiah Sogo.

Amir Ali yang sedang menunggu keputusan permohonan memasuki universiti tempatan berkata, dia tidak menyangka meraih hadiah utama selepas mereka sekeluarga membelanjakan kira-kira RM1,000 dalam 10 resit berlainan bagi membeli kelengkapan Aidifitri sepanjang April lalu.

"Saya rasa macam dalam mimpi dapat kereta kerana selalunya dekat sekolah pun tak pernah dapat cabutan bertuah.

"Saya anggap ini rezeki Allah dan sudah tentu berkat doa restu ibu bapa sehingga saya bertuah hari ini.

"Jadi, saya niat mahu hadiahkan kereta ini kepada ayah untuk kegunaan kami sekeluarga bagi menggantikan kereta lamanya yang berusia 17 tahun," katanya pada majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sogo Malaysia, Raymond Teo; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sogo Malaysia, Chuah Eng Khoon serta Pengarah Kanan Bahagian Komersial, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Azrul Fakhzan Mainor.

Sementara itu, Nor Hidayah berkata, penyertaannya dalam peraduan itu sekadar suka-suka mahu mencuba nasib selepas membelanjakan kira-kira RM500 di Sogo Johor sepanjang tarikh peraduan berlangsung.

"Saya rasa seperti mahu menangis kerana inilah kali pertama saya menang hadiah utama apatah lagi dengan markah peserta lain yang boleh tahan tinggi juga.

"Kereta ini saya akan gunakan untuk menghantar anak ke sekolah," katanya.

Peraduan Jom Balik Kampung Bersama Sogo & PayNet berlangsung antara 24 Mac hingga 31 Mei lalu anjuran bersama Sogo Malaysia dan PayNet bertujuan menghargai pelanggan setia mereka.

Peraduan ini terbuka kepada pelanggan yang berbelanja di mana-mana premis Sogo atau Sogo Food Garden dengan nilai minimum RM50 serta kaedah pembayaran menggunakan kad debit.

Peserta yang layak perlu meneka jumlah ketupat dalam belon besar sebelum 28 finalis terpilih berdasarkan ketepatan atau jawapan paling hampir.

Bagaimanapun hanya 25 finalis berentap pada cabaran pusingan akhir bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000 berikutan tiga lagi peserta tidak dapat hadir.

hm0709sogo

Ketua Pegawai Operasi SOGO Malaysia, Raymond Teo, Pengarah Kanan Bahagian komersial perkongsian korporat dan Penyelesaian Paynet, Azrul Fakhzan Mainor (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan SOGO Malaysia, Chuah Eng Khoon (kanan)bergambar bersama menyampaikan pemenang utama peraduan Jom Balik Kampung anjuran SOGO Malaysia yang diadakan di Tingkat 7 Pasaraya SOGO. STR/HAZREEN MOHAMAD

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 9:13 AM