PERMOHONAN pinjaman dijangka berkembang lebih kukuh memandangkan BNM menangguhkan kenaikan kadar faedah pada Julai 2023.
PERMOHONAN pinjaman dijangka berkembang lebih kukuh memandangkan BNM menangguhkan kenaikan kadar faedah pada Julai 2023.

PENANGGUHAN kenaikan kadar faedah yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu, dijangka menyumbang kepada perkembangan permohonan pinjaman perumahan.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng dalam satu nota penyelidikan berkata, walaupun permohonan pinjaman lebih lemah pada Jun 2023 adalah sedikit negatif kepada sektor hartanah, pihaknya melihat bahawa permintaan akan pulih secara beransur-ansur pada bulan mendatang apabila BNM menangguhkan kenaikan kadar pada Julai 2023.

"Sementara itu, tinjauan keseluruhan untuk sektor hartanah bertambah baik secara beransur-ansur dengan prospek hartanah yang lebih baik untuk Johor," katanya.

Menurutnya, berdasarkan data yang dikeluarkan BNM, permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah merosot sebanyak 11 peratus bulan ke bulan pada Jun 2023 selepas pertumbuhan kukuh bulanan sebanyak 23 peratus pada Mei 2023.

Katanya, kemerosotan dalam permohonan pinjaman pada Jun 2023 mungkin disebabkan oleh penormalan permohonan pinjaman kerana data pada Mei 2023 berkemungkinan dirangsang oleh permintaan terpendam selepas berehat untuk sambutan hari raya.

"Selain itu, angka lebih lemah ini juga mungkin disebabkan oleh kesan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) pada Mei 2023. Bagi asas tahunan, permohonan pinjaman merosot sebanyak 13.4 peratus, menjadikan permohonan pinjaman secara kumulatif kepada RM297 bilion dalam separuh pertama 2023.

"Permohonan pinjaman pada separuh pertama mendatar pada 0.8 peratus, menunjukkan permintaan yang lebih baik sedikit untuk hartanah. Melangkah ke hadapan, permohonan pinjaman dijangka berkembang lebih kukuh memandangkan BNM menangguhkan kenaikan kadar pada Julai 2023," katanya.

Jze Tieng berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah berkurangan sebanyak 5.8 peratus pada Jun 2023 bebranding bulan sebelum terutamanya disebabkan oleh permohonan pinjaman yang lebih rendah.

Katanya, bagi asas tahunan, jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat sebanyak 5.4 peratus walaupun permohonan pinjaman lebih rendah terutamanya disebabkan oleh peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan yang lebih tinggi berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 47.7 peratus pada Jun 2023.

"Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan dalam separuh pertama 2023 adalah sihat pada RM131 bilion yang mewakili kadar pertumbuhan 9.2 peratus berbanding setahun lalu.

"Secara ringkas, kami melihat jumlah pinjaman diluluskan yang sihat seharusnya diterjemahkan kepada prospek jualan baharu bagi pemaju hartanah menjadi lebih baik sedikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 7:01 AM