Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal
Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep untuk membina dan mengendalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) melalui model perkongsian awam-swasta.

Langkah itu susulan maklum balas positif terhadap aktiviti pengumpulan input awal pada Mac lalu.

Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, pihaknya sebelum ini melaksanakan sesi libat urus bersama beberapa syarikat swasta terpilih ketika peringkat awal pengumpulan maklumat untuk memahami tahap minat, keupayaan, dan keperluan sumber yang diperlukan untuk memastikan kemampanan projek ini.

Bagi membantu kerajaan membuat keputusan yang tepat, proses RFI terbuka kepada firma dan konsortium tempatan serta antarabangsa untuk mengemukakan cadangan konsep masing-masing.

Katanya, pelaksanaan RFI membolehkan kerajaan menilai minat dan keupayaan industri untuk membiayai projek itu sepenuhnya.

Di samping itu, proses RFI ini akan menilai keupayaan firma dan konsortium itu dalam membangunkan projek infrastruktur utama ini berdasarkan spesifikasi teknikal, kos projek, model komersial dan perniagaan, rangka kerja konsortium serta tadbir urus.

"Kami bersyukur dengan sokongan padu yang diberikan oleh kerajaan ke atas projek HSR.

"Projek HSR akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan dan mengembangkan kedinamikan ekonomi dari Lembah Klang ke Koridor Selatan di Semenanjung, dan akhirnya ke seluruh negara.

"Selain menyediakan mod perjalanan baharu yang lebih selamat, pantas, cekap dan mampan, projek ini akan membantu kami untuk menyumbang kepada agenda Malaysia Madani, menjana pertumbuhan jangka masa panjang dan mampan untuk kesejahteraan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal menggalakkan firma dan konsortium dengan pengalaman yang relevan untuk menyertai proses RFI.

Katanya, pihaknya berharap ia dapat menarik minat dan cadangan berkualiti yang akan menjadi rujukan penting dalam keputusan kerajaan bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Pelaksanaan proses RFI menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan baharu dalam usaha mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

"MyHSR Corp kekal komited dalam menyokong kerajaan untuk mengenalpasti kaedah yang terbaik bagi membangunkan projek HSR.

"Di peringkat global, pembangunan HSR terbukti sebagai enjin pertumbuhan yang membawa kepada pemangkin pembangunan dan pertumbuhan serta kesan pengganda yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 5:19 PM