GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan terus mendokong aspirasi kerajaan dalam usaha membantu golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap memiliki rumah pertama mereka.

SKJP dalam kenyataan berkata, menerusi pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion kepada SJKP.

Katanya, peruntukan terbabit terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM11,000 untuk membeli rumah pertama dengan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000.

"Sejak penubuhan SJKP pada 2007, SJKP sudah membantu seramai 17,566

golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka dengan nisbah kelulusan 50 peratus kepada golongan tidak berpendapatan tetap dan 50 peratus lagi kepada golongan berpendapatan tetap," katanya.

Sementara itu, SJKP turut memberikan kelulusan pembiayaan melebihi 100 peratus kepada kira-kira 2,000 pembeli rumah pertama dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM450 juta.

Dengan kelulusan melebihi 100 peratus yang diberikan oleh SJKP, pembeli rumah pertama tidak perlu lagi risau untuk menyediakan deposit pembelian sebanyak 10 peratus kepada pemaju perumahan.

"Adalah menjadi harapan SJKP melalui jaminan kerajaan ini, lebih banyak institusi kewangan turut memainkan peranan mereka untuk memberikan kemudahan pembiayaan kepada golongan sasaran yang ingin membeli rumah pertama mereka seterusnya dapat membantu menyediakan kemudahan asas yang selesa kepada keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 5:06 PM