BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengenal pasti terdapat sebanyak 18 projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang sedang dibina di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit atau bermasalah.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pasukan khas yang diwujudkan oleh kementerian bagi mengenal pasti projek rumah lewat, sakit dan terbengkalai, mensasarkan 10 projek daripada projek sakit itu dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi atau keadaan semasa termasuk soal tenaga kerja, kelulusan di peringkat Kerajaan Tempatan mahupun daripada utiliti dari segi komitmen mereka," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin mengenai jumlah projek PRIMA terbengkalai di seluruh negara dan kriteria tanah yang dipilih untuk pelaksanaan projek itu.

Katanya menerusi pasukan itu, kementerian bukan sahaja memantau rapi rumah lewat, sakit dan terbengkalai yang dibina atau diusahakan agensi atau syarikat berkaitan kerajaan tetapi juga projek perumahan swasta.

Sementara itu, menyentuh mengenai inisiatif untuk membantu pembeli rumah pertama khususnya golongan B40, Akmal Nasrullah berkata antara langkah dilakukan oleh kementerian itu adalah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dengan melancarkan Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).

"Satu daripada program di bawahnya (i-Biaya) adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) iaitu pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan yang ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig ekonomi.

"Dalam pembentangan Belanjawan Madani 2023, kerajaan bercadang untuk meneruskan inisiatif ini melalui jaminan sehingga RM5 bilion dengan nilai pinjaman untuk manfaat 20,000 peminjam yang memerlukan. Sebagai perbandingan, belanjawan sebelum ini hanya sekitar RM2 bilion," katanya.

Beliau berkata kementerian juga telah memperkenalkan skim Rent to Own atau Skim Sewa untuk Beli (RTO) bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) pada 2017 bagi membantu golongan berpendapatan B40 yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan untuk memiliki rumah.

"Skim RTO PPR telah dilaksanakan di 14 PPR di seluruh negara yang melibatkan 6,066 unit rumah. Sehingga 31 Dis 2022, sebanyak 4,690 keluarga telah ditawarkan skim RTO PPR di seluruh negara dan masih berbaki 1,376 unit rumah yang belum ditawarkan.

"Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga sedang meneliti untuk mempelbagaikan skim pembiayaan perumahan bagi membantu golongan sasar memiliki rumah, khususnya golongan B40," katanya menjawab soalan asal Shaharizukirnain.

Shaharizukirnain ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan pemberian subsidi perumahan serta memperluas skim RTO kepada semua pembeli rumah pertama khususnya melibatkan golongan B40 dan M40.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:37 PM