GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
NEGERI Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara negeri yang mengalami lambakan kediaman tidak terjual yang tertinggi.
NEGERI Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara negeri yang mengalami lambakan kediaman tidak terjual yang tertinggi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEPUTUSAN kerajaan untuk memansuhkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) bermula 1 April lalu nyata mengejutkan banyak pihak terutama belia golongan B40 yang jelas terkesan dengan ketiadaan skim itu.

Sekali gus tiada lagi kaedah untuk pembeli rumah pertama untuk memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

Ini bermakna, pembeli rumah pertama perlu menyediakan deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli yang lain.

Pemansuhan skim berkenaan juga dilihat akan mengakibatkan kuasa beli rumah dalam kalangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan belia akan berkurangan.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, skim itu sudah membantu lebih 90,000 pembeli rumah pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011.

"Justeru untuk golongan muda dan B40 pasti lebih sukar kerana mereka perlu mencari wang pendahuluan sendiri selepas ini.

"Mereka mesti bekerja lebih keras untuk mencari tempat perlindungan bagi keluarga, apatah lagi dengan kenaikan kos sara hidup yang terus menekan hari ini.

"Pemansuhan itu hanya memberikan semangat yang lebih iaitu perlu mencapai sesuatu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau lagi, walaupun insentif kerajaan masih ada pada belanjawan 2023 iaitu melupuskan duti stem bagi harga rumah di bawah RM500,000 tetapi bebanan kepada golongan B40 makin bertambah kerana perlu mencari wang pendahuluan.

Kata Dr Aimi, golongan M40 dan kaum yang mempunyai purata pendapatan yang lebih tinggi akan mempunyai kelebihan dalam membeli rumah.

Ini kerana mereka mempunyai lebihan pendapatan untuk dikumpulkan bagi membayar wang pendahuluan.

Katanya, ada kemungkinan juga kerajaan mahu memperkenalkan skim sewa beli rumah untuk golongan belia dan B40 kelak, terutama skim rumah mampu milik di mana mereka dibenarkan menyewa dahulu dan kemudian mempunyai pilihan untuk memilikinya melalui sewaan yang dibayar.

"Bagaimanapun ia hanyalah tertakluk kepada pembangunan tajaan program kerajaan dan tidak diadakan kepada pemaju perumahan kecil di luar bandar.

"Tanpa SRP golongan B40 dan belia lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman institusi kewangan dan mereka perlu mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membayar wang pendahuluan," katanya.

BAKAL pembeli rumah pertama mengakui sukar untuk mereka menyediakan wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah dengan keadaan ekonomi ketika ini
BAKAL pembeli rumah pertama mengakui sukar untuk mereka menyediakan wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah dengan keadaan ekonomi ketika ini

Tambah Dr Aimi, bagi pembeli Bumiputera, mereka perlu menggunakan potongan lima peratus dengan sebaiknya tetapi untuk bukan Bumiputera, tetap perlu menyediakan sepenuhnya 10 peratus bayaran pendahuluan.

Ini kerana mungkin kerajaan mahu menyamakan rakyat Malaysia seperti di negara lain di mana tidak ada skim seperti SRP itu.

Dengan banyak unit rumah tidak terjual, ia turut akan memberikan tekanan kepada pemaju serta industri perumahan secara keseluruhannya.

Kata Dr Aimi, kerajaan mungkin sudah memikirkan kesan penarikan skim itu yang sebati dalam industri perumahan negara kerana tidak mahu lagi rakyat mengharapkan bantuan semata-mata sebaliknya perlu berusaha lebih keras seperti rakyat di negara lain.

"Di negara lain terutama di Asean tiada lagi skim yang serupa SRP dan rakyat perlu belajar berdikari serta pandai berbelanja.

"Kesimpulannya, dalam menghapuskan SRP kerajaan mungkin sudah berfikir sehabis baik untuk kebaikan rakyat untuk jangka panjang dan pendek.

"Apapun, di tengah ancaman kos sara hidup yang tinggi, perbelanjaan rakyat perlulah berhemah dan pada masa sama perlu juga menyimpan untuk membeli rumah sendiri," katanya.

KPKT sedia SJKP untuk kumpulan penerima SRP

Pemohon yang tergolong dalam kumpulan sasaran terbabit di bawah Program Skim Rumah Pertamaku (SRP) masih boleh mendapatkan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) atau mana-mana institusi kewangan yang ada di dalam negara.

Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya berkata, walaupun program SRP tidak diteruskan mulai tahun ini, namun kerajaan menerusi Belanjawan Madani 2023 bersetuju meneruskan pembiayaan di bawah SJKP bagi membantu golongan yang terbabit.

"Ia adalah salah satu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan pada tahun 2022."

Dalam pengumuman Belanjawan MADANI 2023, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad bersetuju menyediakan jaminan pembiayaan melalui SJKP sehingga RM5 bilion nilai pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 peminjam yang memerlukan," katanya.

SJKP adalah program yang menawarkan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan ekonomi gig.

"Sehingga 31 Disember 2022, seramai 16,808 peminjam menerima manfaat dengan nilai pinjaman 2.32 bilion daripada pelaksanaan SJKP berkenaan.

"KPKT akan terus menyokong usaha membantu peminjam mencapai impian pemilikan rumah selari dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya, inisiatif berkenaan akan membolehkan profil pembeli daripada golongan B40 dan M40 lebih kompetitif untuk mendapat tawaran pembiayaan rumah daripada institusi kewangan.

KPKT juga berkata, program SRP diumumkan ketika Belanjawan 2011 adalah bagi membantu golongan muda untuk memiliki rumah pertama.

Semakan dalam sesawang KPKT mendapati, antara syarat kelayakan memohon inisiatif SJKP ialah terbuka kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, pemohon mesti pembeli rumah pertama dan boleh membuat pembelian rumah sama ada kediaman baru, dalam pembinaan, sedia ada atau lelongan.

Pemohon mesti mempunyai pendapatan kasar bulanan isi rumah RM1,000 ke atas dan tiada rekod tertunggak (CCRIS) melebihi dua bulan bagi tempoh 12 bulan terkini dan tiada lain-lain rekod kredit yang negatif dalam tempoh 24 bulan untuk memohon SJKP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 6:20 AM