Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga dari kanan) bersama Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Abdullah (kanan) menandatangani panel pintu model Proton di Kilang Stamping D-Line Proton di Tanjung Malim. - FOTO NSTP
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga dari kanan) bersama Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Abdullah (kanan) menandatangani panel pintu model Proton di Kilang Stamping D-Line Proton di Tanjung Malim. - FOTO NSTP
Lizam Ridzuan


Tanjung Malim: Proton Holdings Bhd (Proton) bakal melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu tidak lama lagi.

Ia adalah model SUV ketiga di bawah Proton selepas X70 dan X50 dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, model baharu itu bakal dipasang bersama Proton X50 dan X70 dengan pelaburan bernilai RM140 juta yang bakal menjadi rangkaian stamping terbesar di Malaysia.

"Ia mampu menghasilkan 50 komponen unik menggunakan kuasa sehingga 2,500 tan berpotensi mengurangkan import komponen tahunan sebanyak 115,000 unit.

"Rangkaian stamping baharu ini juga menggunakan enam robot untuk memindahkan bahagian antara stesen kerja dan menggunakan teknologi IR 4.0 serta lima mesin bagi meningkatkan kualiti bahan yang dihasilkan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran rangkaian 'stamping' D-Line baharu Proton dan upacara 'line-off' SUV baharu Proton di sini, hari ini.

Pengurusan kanan Proton di hadapan SUV baharu yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Pengurusan kanan Proton di hadapan SUV baharu yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Menerusi model ketiga SUV untuk Proton itu yang dijana dengan enjin hibrid ringan, ia dijangka membantu mengukuhkan kedudukan jenama ini sebagai SUV popular di Malaysia.

Ia juga akan menjadi model pertama Proton menawarkan teknologi hibrid dalam segmen Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) serta komitmen dalam memperkenalkan lebih banyak NEV sebagai permulaan ke arah pengenalan kenderaan elektrik (EV).

Proton sebelum ini sudah menandatangani perjanjian mengedarkan model EV Smart di Malaysia dan Thailand selain menghantar 16 jurutera ke China untuk latihan selama enam bulan bagi mempelajari ciri kenderaan itu.

"Majlis perasmian barisan pengeluaran ini adalah permulaan aktiviti kepada pengenalan model rasmi Proton tidak lama lagi selain pratonton media serta sesi bersama pelanggan sebagai langkah perjalanan model NEV secara berperingkat sebelum melancarkan produk EV pertama Proton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 3:58 PM