GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) untuk suku kedua berakhir 31 Disember 2022 melonjak kepada RM770.84 juta berbanding RM559.49 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM1.70 bilion daripada RM1.54 bilion, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Peningkatan keuntungan bersih itu disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian perbankan komersial dan insurans, katanya.

Sementara itu, Hong Leong Bank Bhd merekodkan kenaikan dalam keuntungan bersih sebanyak RM1.04 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM738.59 juta pada suku yang sama 2021.

Pendapatan menokok kepada RM1.49 bilion daripada RM1.37 bilion sebelumnya, kata Hong Leong Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Lonjakan dalam keuntungan bersih ini telah disumbangkan oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi, elaun yang lebih rendah bagi kerugian rosotnilai ke atas pinjaman, pendahuluan termasuk pembiayaan sebanyak RM7.9 juta dan bahagian keuntungan yang lebih baik daripada syarikat bersekutu sebanyak RM121.9 juta.

"Bagaimanapun, keuntungan ini telah dikurangkan melalui pertambahan dalam perbelanjaan operasi yang mencecah RM33.1 juta serta elaun kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan dan aset lain sebanyak RM900,000," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HLFG Tan Kong Khoon berkata "memandang ke hadapan, ekonomi global dijangka merosot pada 2023, mencerminkan kesan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama yang bertujuan menangani inflasi berterusan serta peningkatan ketegangan geo-politik dalam kalangan kuasa ekonomi utama."

Di sebalik tekanan global serta permintaan luaran yang lebih perlahan, pembukaan semula sempadan China, usaha merealisasikan projek infrastruktur domestik dan peningkatan ketibaan pelancong dijangka akan merangsang ekonomi tempatan.

"Ekonomi diramalkan berkembang pada kadar sederhana, didorong oleh permintaan domestik yang berterusan disokong oleh peningkatan dalam persekitaran pasaran pekerjaan manakala dasar monetari tempatan kekal tidak terhad.

"Kami optimistik secara berhati-hati terhadap prospek serta daya tahan ekonomi Malaysia dan akan mengemudi perniagaan kami secara berhemat di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 5:22 PM