JEFF
JEFF

CITADEL Group (Citadel) berada di landasan kukuh untuk merealisasikan perancangan kumpulan bagi disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) Nasdaq dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Citadel Datuk Jeff S Medina berkata, sebagai penyedia perkhidmatan kewangan digital, langkah kumpulan untuk tersenarai di Nasdaq itu adalah sebahagian daripada rancangan strategik untuk mengembangkan perniagaan.

Katanya, usaha itu juga selaras dengan langkah Citadel untuk menyediakan tawaran awam permulaan (IPO) di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Sudah tiba masanya untuk syarikat mencipta nama dalam industri kewangan tahun ini dan seterusnya.

"Langkah ini penting memandangkan kami mahu dilihat sebagai industri kewangan yang berwibawa, boleh dipercayai dan berlesen dengan lesen diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pengawal selia lain yang berkaitan.

"Citadel juga berusaha untuk menjadi penyedia instrumen kewangan digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus hidup dan berkembang maju dalam masa yang mencabar dan ekonomi yang semakin pulih ini.

"Selain itu, produk dan perkhidmatan kami turut menawarkan pembiayaan Islamik menerusi produk baru Islamic Redeemable Preference Shares (IRPS) di bawah CG Optima Berhad," katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Jeff berkata, pihaknya juga dalam usaha mengumpul dana untuk digunakan bagi mengembangkan lagi perniagaan gerbang e-pembayaran Citadel ke negara jiran lain di rantau Asia.

"Syarikat menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatan e-pembayaran ke Asean bermula dari Malaysia ke Filipina dan Indonesia.

"Kami sudah mempunyai pasukan di Filipina dan kini bergerak ke arah melancarkan produk itu bermula minggu kedua Februari ini dan menyasarkan hujung tahun untuk ke Indonesia.

"Ini kemudian akan membantu melonjakkan kami ke pasaran lain di rantau ini," katanya.

Sementara itu, satu lagi usaha Citadel untuk merealisasikan matlamat pendigitalan bank pusat itu ialah dengan pengambilalihan qBayar baru-baru ini iaitu aplikasi yang menyediakan perkhidmatan e-wang melalui aplikasi yang berfungsi sebagai e-dompet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:01 AM