TENGKU Zafrul (kiri) mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif Microsoft, Jean-Philippe Courtois.
TENGKU Zafrul (kiri) mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif Microsoft, Jean-Philippe Courtois.

Davos (Switzerland): Ericsson Group dan Microsoft adalah antara syarikat multinasional yang masing-masing terbabit dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Perbincangan dalam mesyuarat itu, dengan Ericson diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Borje Ekholm manakala Microsoft pula diwakili Naib Presiden Eksekutif Jean-Philippe Courtois, menumpukan mengenai potensi pelaburan dan pengembangan.

Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), Nobuhiko Sasaki serta Ketua Pegawai Eksekutif Dow Jones & Company, Almar Latour.

Ketika ditanya mengenai rentetan pertemuan dua hala yang diadakan sejak beliau tiba di sini pada Isnin, Tengku Zafrul menyifatkan ia adalah sesuatu yang hebat setakat ini.

"Seperti yang anda ketahui WEF 2023 dihadiri kira-kira 2,700 pemimpin dari 130 negara termasuk 52 ketua negara.

"Saya mahu mengadakan lebih banyak mesyuarat dua hala terutama dengan rakan sejawatan saya," katanya pada luar acara WEF 2023 di bandar peranginan ski, di sini.

Beliau berkata, setakat ini, perbincangan dalam mesyuarat dua hala itu menumpukan peluang-peluang di Malaysia.

"Sesetengah syarikat yang bertemu dengan kita sebenarnya telah melabur di Malaysia tetapi mahu memastikan pelaburan mereka dilindungi. Kita juga berbincang mengenai potensi untuk mengembangkan operasi dan meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia," katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan perbincangan juga menyentuh perkara yang boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat multinasional ini.

"Jadi, menerusi kerajaan baharu, kita mahu melihat kestabilan dan kita juga bercakap tentang prospek Malaysia," katanya.

Selain itu, syarikat Malaysia juga sedang berkembang ke luar negara, oleh yang demikian syarikat multinasional ini boleh membantu dalam usaha itu, katanya.

Sementara itu, perbincangan dengan Jetro pula berkaitan dengan langkah untuk meningkatkan kerjasama bagi mempermudah perdagangan Malaysia-Jepun.

Jetro turut membentangkan hasil dapatan mereka berhubung prestasi syarikat Jepun di Asean, dengan 59.7 peratus syarikat Jepun di Malaysia mencatatkan keuntungan pada 2021 iaitu meningkat hampir 10 peratus berbanding prestasi pada 2020.

Selain itu, sebanyak 43.2 peratus syarikat Jepun di Malaysia juga merancang untuk mengembangkan operasi mereka.

Mengenai pewujudan ruang 'Malaysia House' buat kali pertama di Davos sempena WEF, beliau berkata ia adalah pendekatan yang baik supaya kehadiran Malaysia dirasai.

"Negara lain telah mengambil pendekatan ini sejak beberapa tahun lepas. Kita mahu kehadiran kita dirasai. Kehadiran yang lebih kuat daripada sebelum ini," katanya.

Tengku Zafrul kini mengetuai delegasi Malaysia ke WEF 2023.

Antara acara berjadual yang akan disertainya ialah sesi mengenai keburukan fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk 'Living with Risk' dengan Tengku Zafrul akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berada dalam sesi dua ahli panel bagi mengupas mengenai 'Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge' bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, H.E. Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi – seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti – akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:01 AM