BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia optimis pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion (AS$6.33 bilion) pada 2023, menandakan keyakinan tidak berbelah bahagi pelabur dari negara itu terhadap Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa akan ada pelaburan baharu yang datang dari Jepun ke Malaysia tahun ini.

"Ini sangat mengagumkan (datang) daripada syarikat (Jepun) yang sudahpun melabur di Malaysia, yang sentiasa membuat komitmen untuk meningkatkan dan mengembangkan pembangunan mereka ke Malaysia," katanya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di sini, hari ini.

Kishida sedang dalam lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia.

Anwar berkata, sebagai negara rakan Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC), Malaysia dan Jepun komited untuk melaksanakan usaha yang lebih penting menyahkarbon dan mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih yang lebih besar.

"Perbincangan kami memberi keutamaan kepada peralihan tenaga. Kita berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan Jepun kerana kita telah mengeksport gas asli cecair (LNG) melalui Petronas selama beberapa dekad dan ini adalah sesuatu yang Perdana Menteri Kishida dan delegasinya sangat berminat untuk lakukan," katanya.

Pada 2022, LNG merupakan eksport utama Malaysia ke Jepun merangkumi 31 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport ke negara tersebut.

ANWAR (kanan) ketika berucap pada mesyuarat dua hala dengan Kishida di Kompleks Seri Perdana. Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Bernama
ANWAR (kanan) ketika berucap pada mesyuarat dua hala dengan Kishida di Kompleks Seri Perdana. Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 2:44 PM