KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz  yakin pertumbuhan positif dalam kemasukan pelaburan ke Malaysia bakal dipacu menerusi pembukaan semula sempadan China.
KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz yakin pertumbuhan positif dalam kemasukan pelaburan ke Malaysia bakal dipacu menerusi pembukaan semula sempadan China.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Cyberjaya: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk mencapai sasaran pelaburan diluluskan mencecah RM49 bilion dan mewujudkan kira-kira 49,000 pekerjaan baharu menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahadhir Aziz berkata, MDEC yang optimis dengan prospek pertumbuhan pelaburan digital khususnya dalam bidang teknologi data dan berkaitan perkhidmatan juga meletakkan sasaran pendapatan sektor digital sebanyak RM29 bilion dan eksport RM16 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"MDEC menyasarkan untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi selain mengembangkan lagi syarikat teknologi tempatan seterusnya memacu penggunaan digital di Malaysia," katanya pada taklimat media di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mahadhir berkata, pertumbuhan positif dalam kemasukan pelaburan ke Malaysia bakal dipacu pembukaan semula sempadan China, meskipun pakar meramalkan ekonomi cenderung meleset tahun ini.

"Jangkaan pertumbuhan sederhana keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus dan jangkaan kemelesetan pada tahun ini sepatutnya diterjemahkan kepada banyak jangkaan perdagangan. Mungkin, kita akan melihat jumlah pelaburan yang lebih rendah tahun ini. Namun, mungkin ekonomi berkembang perlahan bukannya meleset.

"Tetapi kami optimistik dengan berhati-hati, berdasarkan apa yang telah kami laksanakan sebelum ini dari segi mendapatkan pelaburan digital yang boleh direalisasikan dalam tahun ini malah menjangkau hingga 2024.

"Jadi sekali lagi, walaupun jumlah pertumbuhan ekonomi dan aktiviti yang sederhana, kami percaya terdapat banyak lagi yang boleh diterokai di Malaysia ketika ini," katanya.

Mengulas mengenai sasaran pelaburan baharu dalam sektor digital, beliau menjelaskan, MDEC menjangkakan ia lebih tinggi berbanding sasaran yang termaktub dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) berjumlah RM70 bilion menjelang 2025.

Katanya, sasaran baharu mungkin boleh ditetapkan semula oleh kerajaan berdasarkan pencapaian yang diraih tahun lalu membabitkan pelaburan mencecah RM42 bilion.

"Pencapaian pelaburan yang belum diaudit dalam sektor digital bagi tahun lalu adalah berjumlah RM42 bilion dan pada 2021 juga adalah tinggi.

"Saya berpendapat kita harus melihat semula jumlah ini dan menjadi lebih bercita-cita tinggi dalam sasaran kita. Kami baru sahaja menamatkan fasa 1 MyDIGITAL. Justeru, untuk fasa 2, beberapa sasaran ini akan dipertimbangkan semula.

"Kita perlu melihat bidang lain seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI) kerana ini adalah jenis pelaburan yang akan membawa lebih banyak manfaat kepada negara.

"Saya fikir trend itu ada, kami melihat perkara ini, di sinilah kami mempergiatkan aktiviti (aktiviti berkaitan pelaburan) untuk memastikan kita tidak hanya memanfaatkan dan bergantung pada pusat data, ia tidak akan bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:00 AM