Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai satu daripada pasaran e-dagang utama di Asean dengan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) mencapai AS$30 bilion (kira-kira RM123 bilion) pada 2025.

Malah, GMV e-dagang Malaysia dijangka meningkat enam peratus kepada AS$11.4 bilion (kira-kira RM46.7 bilion) bagi tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, laporan e-Conomy SEA 2020 oleh gergasi teknologi Google, pelabur milik Singapura Temasek dan syarikat rundingan global Bain & Company mengunjurkan bahawa GMV Malaysia akan mencapai angka lebih tinggi dalam tempoh empat tahun.

"Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan pasaran e-dagang di Asean, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) pada 22 April 2021.

"MDEC juga diberi kepercayaan untuk menerajui Pejabat Pengurusan Projek NESR 2.0 dengan mandat untuk mengawal selia keberhasilan pelaksanaan NESR 2.0 susulan pencapaian NESR 1.0," katanya.

Menurutnya, NESR 2.0 mengutamakan pelaksanaan e-dagang dalam kalangan perusahaan mikro,kecil dan sederhana tempatan (MSME) pada 2025 sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL).

"Lebih 489,000 MSME telah menerapkan e-dagang, manakala 378,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilatih dalam e-dagang sehingga akhir 2020.

"Jumlah PKS yang mengeksport barangan telah meningkat secara drastik daripada 1,800 kepada 27,000 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau," katanya.

Surina berkata, bagi memacu usaha ini, NESR 2.0 akan beroperasi mulai 2021 hingga 2025 dengan menyasarkan 875,000 MSME serta menggalakkan 84,000 penerapan eksport e-dagang dan meningkatkan pendapatan purata bagi setiap pengguna kepada RM9,500.

"Objektif utama ini adalah selari dengan Teras Kedua (meningkatkan daya saing ekonomi menerusi pendigitalan) dan Teras Kelima (menyasarkan untuk mencipta masyarakat yang terangkum dengan digital) dalam MyDIGITAL.

"Pada masa sama, objektif berkenaan adalah selari dengan agenda Malaysia 5.0 yang berhasrat memperkasakan masyarakat yang terintegrasi dengan teknologi berdasarkan pertumbuhan yang inklusif, mampan dan adil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 8:31 AM