PROF Madya Dr Aimi Zulhazmi. FOTO arkib NSTP
PROF Madya Dr Aimi Zulhazmi. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kestabilan politik menjadi teras kepada kerajaan untuk membuat perubahan termasuk ekonomi secara jangka panjang.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sokongan berterusan yang diberikan rakyat akan membantu kerajaan untuk meneruskan perancangan meningkatkan ekonomi serta perniagaan.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mempunyai kekuatan politik untuk mentadbir negara.

"Beliau juga mahu menunjukkan bukan saja kepada rakyat tetapi juga golongan peniaga, pelabur luar dan dalam negara, bahawa sudah mula wujud kestabilan politik dan mereka perlu yakin dengannya sebagai Perdana Menteri untuk menerajui negara.

"Ia juga penting untuk meyakinkan syarikat multinasional (MNC) yang sudah bertapak di Malaysia untuk terus kekal dan melabur serta mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, sokongan diberikan itu dapat meneruskan pelan membantu rakyat dan perniagaan dalam persediaan melalui kemelesetan ekonomi global pada tahun depan.

Katanya, dasar fiskal negara yang mengembang melalui Belanjawan 2023 mestilah diselarikan dengan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) supaya ekonomi domestik dapat menjadi penyelamat ekonomi negara berikutan ekonomi global yang malap tahun hadapan.

Jumlah eksport negara untuk November 2022 berbanding Oktober juga menyusut satu peratus memberikan itu petanda awal.

"Kita perlu berfikir di luar kotak dalam mencari solusi untuk membangunkan ekonomi negara.

"Contohnya, subsidi yang dijalankan sekarang adalah langkah jangka pendek dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan membebankan kewangan negara.

"Apa yang perlu dibuat adalah bagaimana menaikkan pendapatan rakyat berlipat ganda, mencipta peluang pekerjaan dalam sasaran menjadi negara maju," katanya.

Katanya, struktur ekonomi sekarang mesti diperbetulkan dan pastinya ia harus disandarkan pada kekuatan politik dalam merubah dan merencana masa hadapan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 2:53 PM