ROSNIZAM tekad meletakkan kembali  jenama burger kukusnya seperti era kegemilangannya dulu.
ROSNIZAM tekad meletakkan kembali jenama burger kukusnya seperti era kegemilangannya dulu.
Oleh Nor Hairulnizam Wahid


PERNAH menempuhi jatuh bangun dalam bisnes, pengusaha Burger Kukus Jalan Rejang (BKJR), Rosnizam Ramli bertekad untuk kembali meletakkan jenama burger kukusnya seperti era kegemilangannya dulu.

Menerusi kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), BKJR menyimpan impian untuk mengembangkan perniagaan yang ketika ini beroperasi dengan enam cawangan.

Buat masa terdekat, Rosnizam menyasarkan pertambahan dua gerai menjelang akhir tahun ini dengan sasaran tambahan 15 gerai lagi tahun hadapan.

"BKJR bermula pada 2009 di Jalan Rejang, Setapak dan mendapat sambutan hebat sebelum seorang rakan niaga menawarkan untuk membuka gerai cawangan di Nilai pada tahun sama.

"Selepas mendapat liputan akhbar, perniagaan mula berkembang hingga ke Kelantan dan Johor, malah dari 2010 hingga 2012, kami sudah memiliki 26 cawangan," katanya.

Rosnizam berkata, dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar ditambah pula kenaikan harga barang, membuatkan ramai rakan niaga menarik diri, malah beliau sendiri turut mengurangkan cawangan.

Katanya, PKP pula membuatkan beliau terpaksa bertahan dengan cawangan sedia ada di Gombak dan Setapak di Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

"Baru-baru ini, saya menyertai program Business In Transformation (BIT) bersama Pernas dan berharap dapat membangunkan perniagaan ini kembali kerana jenama burger BKJR sudah dikenali," katanya.

Menurutnya, apa yang membezakan burgernya adalah sos dan cara penyediaan burger terbabit yang dikukus terlebih dahulu sebelum dipanggang, Malah beliau kini bekerjasama dengan Mardi untuk menghasilkan patti sendiri.

Beliau turut menghasilkan sendiri sos lada hitam, sos cili dan garlic butter yang memberi kelainan rasa berbanding burger jalanan lain.

Mengulas kerjasama dengan Pernas, Rosnizam berkata, selain bantuan kewangan, bimbingan turut diberikan kepada prafrancaisor secara berterusan menerusi kursus berkaitan.

"Buat masa ini, saya memberi tumpuan terhadap penambahan gerai terlebih dahulu sebelum merancang membuka dapur utama untuk menampung keperluan semua cawangan," katanya.

Bagi yang berminat menjadi rakan niaga atau francaisi BKJR, pihaknya menawarkan pakej perniagaan bernilai RM15,000 dengan pembiayaan disediakan Pernas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 7:00 AM