Foto hiasan Reuters
Foto hiasan Reuters

Kuala Lumpur: Fenomena peletakan jawatan besar-besaran atau dikenali sebagai 'Great Resignation' yang banyak dilaporkan sebelum ini dilihat tidak terlalu menyerlah di Asia Tenggara.

Ini kerana 79 peratus profesional yang ditinjau di seluruh Asia Tenggara berniat untuk meletak jawatan pada 2021, hampir separuh daripadanya tidak berbuat demikian.

Berdasarkan tinjauan terbaru perunding pengambilan profesional dunia Robert Walters, ia mendapati golongan profesional di rantau ini dilihat menghargai jaminan pekerjaan ketika waktu-waktu yang tidak menentu, dengan lebih separuh (59 peratus) menyatakan mereka tidak selesa untuk berhenti kerja tanpa tawaran kerja baru, dan 81 peratus daripada jumlah itu yang terfikir untuk meletakkan jawatan sanggup menukar fikiran jika keadaan membenarkan.

Selain daripada jaminan pekerjaan, profesional di Malaysia menghargai pakej gaji yang tinggi, kepimpinan yang baik dan budaya tempat kerja yang sihat yang dilihat sebagai faktor yang mampu mengekalkan bakat.

Tinjauan itu mendapati, menggajikan bakat baharu kekal menjadi cabaran di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia yang menyaksikan 83 peratus syarikat mengalami kesukaran untuk berbuat demikian pada tahun lalu. Salah satu cabaran besar untuk menggajikan pekerja adalah jangkaan tinggi terhadap gaji dan manfaat, dengan kadar 66 peratus.

Tinjauan Robert Walters Great Resignation Reality Check merumuskan pandangan lebih 2,600 profesional dan lebih 1,100 syarikat, untuk lebih memahami sikap terhadap peletakan jawatan, situasi pemberhentian dan mendalami motif pekerja yang kekal bekerja. Ia dijalankan pada Jun 2022 dan menjangkau enam negara Asia Tenggara (Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam).

Menurut tinjauan itu, sebahagian besar profesional yang ditinjau di seluruh Asia Tenggara berniat untuk meletak jawatan pada 2021, hampir separuh (42 peratus) tidak berbuat demikian.

Malaysia menyaksikan profesional paling ramai (82 peratus) yang terfikir untuk berhenti kerja pada tahun lalu, diikuti Singapura dan Thailand (80 peratus).

Bagaimanapun, 62 peratus profesional di Malaysia tidak akan berhenti kerja tanpa peluang yang lebih baik, meletakkan Malaysia satu kedudukan di belakang Singapura (64 peratus).

Pengarah Urusan Robert Walters Asia Tenggara, Gerrit Bouckaert berkata, perniagaan boleh menjangkakan pasaran kerja yang menggalakkan di seluruh Asia Tenggara pada tahun akan datang, berbanding fenomena peletakan jawatan besar-besaran.

"Golongan profesional tidak akan berhenti kerja begitu sahaja, sebaliknya mereka mencari peluang menukar kerja.

"Berdepan dengan kemungkinan kemelesatan ekonomi, kami menjangkakan profesional akan lebih berhati-hati, dan hanya akan tukar kerja jika ada tawaran kerja lain," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 7:10 PM