BERNAMA

Kuala Lumpur: Milenial dan Generasi Z (Gen Z) beragama Islam di Asia Tenggara semakin memanfaatkan perbankan Islam, dengan 77 peratus daripada rakyat Malaysia dan 65 peratus rakyat Indonesia dalam tinjauan menggunakannya bersama-sama perbankan tradisional berbanding hanya 31 peratus di seluruh dunia, menurut laporan.

Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Mambu -- platform perbankan awan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) terkemuka -- menyatakan Malaysia juga mempunyai segmen tertinggi pengguna yang hanya menggunakan perbankan Islam (42 peratus), berbanding lebih suku (26 peratus) daripada responden global.

Laporan itu menunjukkan di seluruh rantau, sebanyak 85 peratus daripada pengguna yang tidak menggunakan perbankan Islam pada masa ini menyatakan minat untuk berbuat demikian, dengan peratusan meningkat kepada 92 peratus di Indonesia.

Pengarah Jualan Pasaran Mambu bagi Asia Pasifik (APAC) Colin Kum berkata APAC mewakili kira-kira 25 peratus daripada pasaran kewangan Islam global, dengan Malaysia muncul sebagai peneraju yang ketara di rantau ini.

"Tinjauan ini mendedahkan minat pengguna yang semakin meningkat dalam perbankan Islam dan menjelaskan bahawa bank perlu menerima produk dan perkhidmatan patuh Syariah untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran baharu dan sedia ada.

"Tumpuan yang berterusan kepada teknologi juga penting untuk bank, dengan 92 peratus daripada responden menyatakan kepentingan penyedia kewangan Islam mereka menawarkan pilihan perbankan dalam talian," kata Kum dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan oleh Mambu, yang pada mulanya dijalankan pada 2021 dan dilaksanakan semula pada 2024, membuat tinjauan terhadap lebih 1,500 individu berumur 16 hingga 40 tahun yang beragama Islam di seluruh United Kingdom, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Malaysia dan Indonesia.

Dapatan ini dihimpunkan dalam laporan bertajuk 'Beliefs & Business: The Shape of Islamic Finance in 2024'.(Kepercayaan & Perniagaan: Membentuk Kewangan Islam pada 2024).

Laporan ini turut menggariskan penguasaan Malaysia dalam perbankan Islam, menegaskan bahawa milenial dan Gen Z beragama Islam di negara ini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai rangkaian perkhidmatan perbankan Islam (65 peratus di Malaysia berbanding 53 peratus di seluruh dunia).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 8:19 PM