MOHD Shahar (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan.
MOHD Shahar (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan.

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi jenama tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), BSN Care terus membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dengan menyumbangkan sejumlah 183 kotak makanan keperluan asas kepada komuniti di Gua Musang.

Sebanyak 83 kotak diedarkan kepada keluarga orang asli di Kuala Lah dan 100 kotak kepada komuniti di Tokong Swee Nyet Kampung Pulai (Tokong Mek).

Sumbangan kotak makanan ini dijalankan bersempena dengan program Jelajah Bajet 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan pemangku Pengarah Negeri BSN Kelantan, Fazli Ibrahim sudah menyempurnakan penyampaian kotak makanan yang dianggar bernilai RM100 setiap satu, mengandungi bahan makanan termasuk beras, minyak masak, gula, makanan dalam tin serta biskut.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, sebagai institusi perbankan yang prihatin, BSN terus melaksanakan program bantuan bagi membantu mereka yang memerlukan seperti komuniti di Gua Musang seiring dengan visi BSN Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan.

"Antara teras BSN Care ialah 'Komuniti' yang memberi penekanan kepada penjanaan kehidupan yang mapan, memberi impak sosial serta menyediakan bantuan keperluan asas kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 7:01 AM