KUI Yong (tiga, kanan) masih lagi cergas melakukan tarian riben bersama rakan di pekarangan Tokong Swee Nyet Keung, Gua Musang. FOTO Bernama
KUI Yong (tiga, kanan) masih lagi cergas melakukan tarian riben bersama rakan di pekarangan Tokong Swee Nyet Keung, Gua Musang. FOTO Bernama
BERNAMA

Gua Musang: Meskipun bergelar warga emas, Phua Kui Yong, 76, dan Ng Giok Hoon, 71 masih lincah menari khususnya tarian tradisional Tionghua seperti tarian kipas, tarian bunga bola dan tarian riben.

Menyedari masih ramai generasi muda yang tidak mengenali tarian itu, pasangan sahabat baik terbabit mengambil inisiatif memperkenalkan seni warisan itu kepada masyarakat.

Phua berkata, tarian kipas, tarian bunga bola dan tarian riben turut membawa identiti budaya masyarakat Tionghua, namun tidak mendapat pendedahan seperti tarian singa dan naga yang sudahpun terkenal.

"Oleh itu kami sepakat secara sukarela menggalas tanggungjawab untuk mengetengahkan serta mengekalkan tarian kipas, tarian riben dan tarian bunga bola atau xiuqiuhua," katanya ketika ditemui di Tokong Swee Nyet Keung di sini, tadi.

Berpengalaman hampir 50 tahun dalam bidang tarian, Phua berkata kesemua jenis tarian itu adalah simbolik kepada kegembiraan, kemewahan dan tuah.

Bercerita lanjut beliau mengakui sehingga kini dirinya masih lagi cergas dan memiliki stamina yang tinggi disebabkan amalan menari enam hari seminggu.

"Saya pada mulanya mengikuti suami berpindah dari Perak ke daerah ini pada tahun 1970-an dan dapat mengenali rakan-rakan di sini melalui aktiviti menari.

"Dari itu saya dan rakan menjadikannya sebagai senaman pagi setiap Sabtu hingga Khamis dan menari sekurang-kurangnya satu jam setengah sebelum masing-masing ke tempat kerja, tetapi pada 2003 kami mula mendapat permintaan untuk mengadakan persembahan sebagai penyeri majlis," katanya.

Menurut Ng, aktiviti tarian itu dapat membuka mata masyarakat terhadap variasi tarian yang melambangkan keunikan kaum Cina.

"Kita ingin memastikan warisan ini tidak basah dek hujan, tidak lekang dek panas. Tugas kami adalah menghidupkan dan mempertahankan 'pusaka' yang ditinggalkan nenek moyang ini," katanya yang amat fasih berbahasa Melayu.

Ng berkata antara cabaran yang dihadapi adalah untuk mencari pelapis dari generasi baharu yang dilihat lebih cenderung kepada tarian moden.

"Kami perlu berusaha menjadikan tarian tradisional ini masih relevan pada masa kini malah sentiasa cuba menarik minat golongan muda untuk menyertai rutin senaman kami setiap pagi.

Antaranya menurut Ng, mereka perlu bersaing dengan populariti tarian zumba dalam kalangan belia masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:19 PM