PEMANSUHAN AP makanan diumum kerajaan mampu jamin bekalan makanan negara mencukupi.
PEMANSUHAN AP makanan diumum kerajaan mampu jamin bekalan makanan negara mencukupi.

LANGKAH kerajaan memansuhkan permit import (AP) makanan baru-baru ini, dilihat mampu menjadi penyelesaian bagi membolehkan pasaran beroperasi secara bebas dalam usaha memperkukuh jaminan makanan serta mengelak berlakunya kenaikan harga.

Kalangan ahli ekonomi juga menyifatkan langkah berkenaan dapat menggalakkan perniagaan, perdagangan dan pelaburan selain mewujudkan penyelesaian yang saling menguntungkan, khususnya manfaat untuk rakyat.

Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Dr Geoffrey Williams berkata tindakan kerajaan itu juga tepat daripada segi peringkat had atau siling harga serta liberalisasi pasaran dalam memastikan bekalan makanan terus mencukupi di negara ini.

"Kita sepatutnya menyaksikan tekanan harga itu berkurangan (akibat pemansuhan AP) dan ini akan memberi manfaat kepada pengguna dalam jangka masa pendek.

"Sekiranya AP tidak dilaksanakan semula, ini akan membawa manfaat jangka panjang daripada segi harga yang lebih rendah, pilihan produk yang lebih banyak serta lebih berkualiti," katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan AP bagi produk makanan berkuatkuasa serta-merta untuk memastikan bekalan makanan negara yang mencukupi.

Malah, antara isu yang menjadi perhatian pada masa ini adalah masalah kekurangan bekalan ayam.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, import makanan terkumpul Malaysia berjumlah RM482.8 bilion untuk tempoh 10 tahun lepas manakala eksport sebanyak RM296 bilion.

Bagi memenuhi keperluan dan permintaan pengguna di Malaysia, produk makanan mesti diimport dari seluruh dunia terutama bawang, produk tenusu, kopi, tepung gandum, teh, bawang merah, kentang dan minyak masak.

Mengulas selanjutnya, Williams yang turut bertanggungjawab dalam usaha penyelidikan dan inovasi MUST, juga menyifatkan pemansuhan AP sebagai langkah penting ke arah mewujudkan pengaturan perjanjian perdagangan yang lebih terbuka, bebas serta telus.

"Ini sepatutnya diperluaskan lagi dengan melangkaui makanan dan ke arah pemansuhan semua AP dan sekatan import kecuali atas alasan kesihatan dan keselamatan.

"Tindakan sedemikian dapat menggalakkan lagi perniagaan dan perdagangan, mengurangkan harga untuk pengguna serta menurunkan kos yang ditanggung oleh kerajaan. Penyelesaian yang saling menguntungkan ini akan dapat menggalakkan pelaburan, pekerjaan dan pertumbuhan serta membantu menurunkan harga makanan," katanya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi di Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng pula berkata, kalangan anggota kartel makanan ini misalnya perlu berdepan persaingan pasaran secara terbuka apabila AP tersebut dimansuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 7:00 AM