WAN Razly (kanan) dan Agil pada sidang media selepas AGM  dan EGM  Affin Bank di Menara Affin KL.
WAN Razly (kanan) dan Agil pada sidang media selepas AGM dan EGM Affin Bank di Menara Affin KL.
Sri Ayu Kartika Amri

AFFIN Bank Bhd (Affin Bank) mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi pelupusan 63 peratus pegangan Affin Hwang Investment Bank Bhd dalam Affin Hwang Asset Management Bhd (AHAM) kepada Starlight Asset Sdn Bhd sebanyak RM1.417 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pelupusan terbabit akan menjana sebanyak RM1.063 bilion bagi Kumpulan Affin.

Katanya, sebahagian besar daripada jumlah itu akan digunakan untuk modal kerja termasuk melaksanakan pelan pengembangan kumpulan di bawah Pelan Metamorfosis AIM 2022.

"Berikutan kelulusan yang diperoleh ini, Affin Bank bercadang untuk memberikan dividen khas kepada pemegang sahamnya menjelang akhir tahun ini.

"Kami jangkakan pelupusan ini akan selesai suku ketiga tahun ini dan kami akan menghantar permohonan dividen khas ini untuk mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Affin Bank di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt.

Sempena AGM dan EGM itu juga Affin Bank turut mengisytiharkan dividen sebanyak 12.5 sen setiap saham iaitu tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Wan Razly berkata, pemegang saham sudah meluluskan kesemua resolusi, termasuklah pembayaran dividen sebanyak 12.5 sen bagi setiap saham dan tertinggi pernah diberi.

Beliau berkata, dividen akhir itu akan dibayar menerusi Pelan Pelaburan Semula Dividen di mana pemegang saham boleh memilih sama ada untuk melabur dalam saham baharu Affin Bank atau menerima bayaran tunai.

Sementara itu, Wan Razly berkata, kumpulan perbankan itu terus mengorak langkah dan melakar pelbagai kejayaan yang dipacu oleh Pelan Metamorfosis AIM22, meskipun berdepan situasi pandemik yang mencabar.

"Pelan tiga tahun itu iaitu dari tahun kewangan 2020 ke 2022, menekankan beberapa aspek tumpuan utama termasuklah pulangan ke atas ekuiti, pengurangan kos keseluruhan dengan menyusun semula kunci kira-kira, transformasi digital bagi mengurangkan jurang antara Affin Bank dengan bank lain, sumber manusia, produktiviti dan pengurusan risiko yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:10 AM