GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Digi.com Bhd merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM236.15 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 daripada RM264.83 juta manakala hasil berkurangan 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.52 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pendapatan asas sesahamnya susut kepada 3.04 sen daripada 3.41 sen pada suku pertama 2021.

Ia mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.9 sen sesaham, bersamaan dengan RM225 juta pembayaran dividen.

Mengenai cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan unit Digi, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Digi berkata, urus niaga yang dicadangkan masih berjalan seperti yang dirancang dan penyelesaiannya adalah tertakluk kepada penerimaan kelulusan kawal selia, kelulusan oleh semua pemegang saham serta terma dan syarat-syarat biasa yang lain.

"Dengan lebih banyak sekatan berkaitan Covid-19 ditarik balik dan sempadan dibuka semula, kami menjangkakan peningkatan dalam aktiviti komersial dan pelancongan yang akan mendorong permintaan untuk perkhidmatan perayauan," kata Pemangku Ketua Pegawai Eeksekutif dan Ketua Pegawai Pemasaran Praveen Rajan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penyedia perkhidmatan kesalinghubungan mudah alih dan internet itu terus mengutamakan usaha untuk memenuhi jangkaan pelanggan perniagaan dan penggunanya daripada semua segmen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 4:36 PM