PASAR Raya Besar Mydin di Tunjong, Kota Bharu berkeluasan hampir sejuta kaki persegi.
PASAR Raya Besar Mydin di Tunjong, Kota Bharu berkeluasan hampir sejuta kaki persegi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


MEMILIH tema Bermulanya Di Sini rangkaian pemborong dan runcit halal tempatan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) kini melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka cawangan terbesarnya di Kelantan di mana Mydin mula bertapak di negeri itu pada Ogos 1957.

Pasar Raya Besar Mydin yang terletak di Tunjong, Kota Bharu, adalah cawangan ke-67 dan berkeluasan hampir sejuta kaki persegi menawarkan konsep tradisi warisan asli Kelantan dengan sentuhan moden.

Turut dilengkapi fasiliti pasar raya besar yang menawarkan pelbagai barangan seperti keperluan rumah, barangan dapur, barangan segar, pakaian, produk berkaitan Muslimin dan kelengkapan haji.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, di sebalik kemelut ekonomi yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19 yang berpanjangan, Mydin mengambil langkah berani membantu Keluarga Malaysia dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Pembukaan cawangan ini menzahirkan komitmen Mydin untuk terus bersama-sama memacu ekonomi ummah.

"Selain itu, ia merancakkan kitaran ekonomi domestik dengan menawarkan kepelbagaian barangan pada harga kompetitif bagi meningkatkan kuasa pembelian penduduk sekitar," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pasar raya baharu itu juga mengetengahkan hasil produk keluaran usahawan tempatan di negeri Serambi Makkah itu dengan adanya Bazar Siti Hawa.

Bazar yang berlokasi di aras dua bangunan terbabit menawarkan bermacam produk tempatan seperti pakaian, makanan, hasil kraf tangan dan pelbagai lagi barangan yang menarik.

Selain memberi lebih 1,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat, Mydin turut merangsang dan merancakkan ekonomi penduduk setempat dengan memasarkan produk keluaran negeri itu.

Justeru, masyarakat setempat turut menerima limpahan ekonomi di samping menjadikan Mydin sebagai pusat sehenti beli-belah dan mendapatkan barangan pada harga borong dan kompetitif.

Pasar Raya Besar Mydin Tunjong menawarkan pelbagai fasiliti dan kemudahan menarik kepada pelanggan seperti surau dua tingkat, pusat sukan boling dan pelbagai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:05 AM