KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi Pelan Strategik Medac 2022 komited untuk membantu lebih 690,000 usahawan dan bakal usahawan di seluruh negara dengan menggariskan hala tuju dan langkah strategik untuk dilaksanakan dalam usaha memulih dan mempertingkatkan semula pertumbuhan sektor keusahawanan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kementerian memulakan langkah pada tahun baharu ini dengan membangunkan Pelan Strategik Medac yang mengetengahkan tiga Teras Strategik, 21 Strategi dan 180 inisiatif.

Katanya, tiga Teras Strategik itu termasuk Penggubalan Dasar, Tadbir Urus serta Kawal Selia, Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Mentransformasi Penyampaian Perkhidmatan dengan menjadikan Medac dan agensinya institusi dan organisasi yang dinamik.

"Antara strategi yang digariskan adalah meliputi pembangunan pelan tindakan, semakan akta dan perundangan, penyelidikan, penilaian dan pemantauan, inovasi serta hubungan antarabangsa, termasuk pembangunan Pelan Tindakan Pembangunan Usahawan Informal dan Rangka Tindakan Perusahaan Sosial 2030," katanya di Majlis Amanat Menteri Medac Tahun 2022 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:00 AM