MOHAMED Khaled (tiga kanan) melancarkan ‘Roadmap Johor’ sambil diperhatikan Presiden dan Ketua Esekutif JCORP, Datuk Kamarulzaman Abu Kassim (empat kiri); Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday (tiga kiri) dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Ismail Mohamed (dua kanan). FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHAMED Khaled (tiga kanan) melancarkan ‘Roadmap Johor’ sambil diperhatikan Presiden dan Ketua Esekutif JCORP, Datuk Kamarulzaman Abu Kassim (empat kiri); Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday (tiga kiri) dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Ismail Mohamed (dua kanan). FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass


PELAN Strategik Pembangunan Koperasi 2017-2021 yang dilancarkan kerajaan Johor, hari ini dijangka mampu mentransformasi koperasi ke arah lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada 1,324 koperasi yang didaftarkan di Johor, keanggotaannya menjangkau setengah juta.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri ingin memberi anjakan dengan mewujudkan pelan berkenaan.

Katanya, ia selari dengan Dasar Koperasi Negara yang menggariskan hala tuju, strategi serta tindakan untuk membangun dan mensejahterakan rakyat menerusi gerakan koperasi.

"Yang penting akhirnya kita mesti menggunakan koperasi sebagai instrumen mengukuhkan kemandirian masyarakat.

"Ia seharusnya menjadi instrumen bagi menyokong pertumbuhan dan pengagihan ekonomi secara adil," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Roadmap Pembangunan Usahawan Bumiputera Dalam Rantaian Halal Industri Ayam Pedaging dan Lembu Tenusu Berskala Besar Negeri Johor, Pelan Strategik Pembangunan Koperasi Negeri Johor 2017-2021, Johor Brand dan Penyampaian Anugerah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Johor 2017 sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota di Iskandar Puteri, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, selain daripada koperasi, kerajaan negeri turut melihat kepada kepentingan penyertaan bumiputera dalam industri halal secara berskala besar.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri mewujudkan pelan tindakan berkaitan yang membabitkan Johor Corporation (JCorp) dan J-Biotech sebagai peneraju.

Menurutnya, bagi pelan tindakan Pembangunan Usahawan Bumiputera Dalam Rantaian Halal Industri Ayam Pedaging, ia mensasarkan usaha bagi membangunkan 80 penternak ayam Bumiputera dengan kapasiti pengeluaran 24 juta ekor ayam menjelang 2023 dengan kos RM420 juta.

Katanya, manakala bagi Roadmap Pembangunan Usahawan Bumiputera Dalam Industri Lembu Tenusu, ia mensasarkan peningkatan hasil pengeluaran susu kepada 10 liter setahun dan mewujudkan 40 penternak atau usahawan menjelang 2020.

"Berkaitan soal ‘Brand Johor’, kerajaan negeri juga meletakkan penekanan khusus kepada usahawahan untuk reka bentuk dan menjenamakan produk menggunakan jenama berkenaan.

"Ia mengubah persepsi dan keyakinan masyarakat bahawa barangan buatan tempatan setanding dengan barangan berjenama lain daripada segi kualitinya.

"Malah penggunaan logo ini juga berupaya memperlihatkan keupayaan usahawan tempatan dengan pasaran global," katanya.

Gambar oleh Mohd Azren Jamaludin

#kw Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Koperasi 2017-2021 

#loc 1.4188449999999999, 103.656547

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 7:46 PM