GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Peruntukan untuk Dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dinaikkan kepada RM4.5 bilion di bawah Bajet 2022.

BNM dalam kenyataan berkata, ia akan membuat pelbagai penambah baikan kepada dana PKS bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, RM2 bilion akan ditambah kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar menjadikan jumlah peruntukan kepada RM8 bilion manakala Kemudahan Agromakanan akan dinaikkan sebanyak RM500 juta, jumlah keseluruhan peruntukan dinaikkan kepada RM2 bilion.

Sementara itu, dua kemudahan baharu akan diwujudkan dan tersedia mulai Januari tahun 2022, katanya.

BNM berkata, Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) bernilai RM1 bilion akan diwujudkan untuk mengukuhkan struktur modal perniagaan.

"Kemudahan ini akan membantu perniagaan memohon pembiayaan dan pada masa sama menguruskan tahap hutang mereka dengan lebih baik agar lebih mampan," katanya.

BNM berkata, di bawah BRF itu PKS boleh mendapatkan pembiayaan dalam bentuk ekuiti atau instrumen jenis ekuiti atau pembiayaan hutang digabungkan dengan ekuiti dalam perkongsian dengan pembiaya ekuiti pihak ketiga.

Satu lagi kemudahan baharu ialah Kemudahan Peralihan Karbon Rendah RM1 bilion yang akan diwujudkan secara padanan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk membantu PKS menyerap amalan mampan dan rendah karbon dalam operasi perniagaan mereka.

Ini termasuk untuk meningkatkan penggunaan bahan mentah yang mampan dan tenaga boleh diperbaharui serta meningkatkan kecekapan tenaga bangunan atau jentera, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 1:10 PM