DATUK Mohammed Hussein.
DATUK Mohammed Hussein.
Murnaena Muhammad Nasir
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) melalui Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB), hari ini. melancarkan Takaful myClick Motor FlexiSaver, sebuah pelan takaful motor flexi pertama negara yang menawarkan perlindungan harian, Pay As You Drive (PAYD).

Pelan ini bersesuaian bagi pengguna yang jarang memandu atau memiliki beberapa kereta namun ingin mendapatkan penjimatan insurans dan takaful kenderaan.

Pengerusi Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein berkata, pelancaran maya Takaful myClick Motor FlexiSaver hari ini menandakan komitmen teguh pihaknya untuk terus memberikan nilai unggul kepada pelanggan.

"Kami memberi pelanggan fleksibiliti untuk mengaktifkannya sehari sebelum mereka ingin memandu dan dikenakan bayaran hanya pada hari-hari yang mereka memandu sahaja.

"Ini bermakna, pelan ini cukup bermanfaat kepada pelanggan yang ingin menikmati penjimatan terutama kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya ketika Majlis Pelancaran Takaful myClick Motor FlexiSaver secara dalam talian, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif STMAB Mohamed Sabri Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex Datuk Seri Ivan Teh.

Sementara itu, Mohamed Sabri berkata, bagi memudahkan pelanggan melanggan pelan terbaharu ini, proses pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian.

"Secara khususnya kami ingin memudahkan proses pendaftaran dalam talian pelanggan untuk pelan takaful motor ini, selaras dengan strategi digital Takaful Malaysia untuk meningkatkan kebolehcapaian produk dan perkhidmatan.

"Pelanggan hanya perlu mendaftar untuk pelan asas Takaful myClick Motor FlexiSaver melalui portal jualan dalam talian atau aplikasi mudah alih Click for Cover, sebelum mengaktifkan PAYD melalui aplikasi mudah alih," katanya.

Takaful myClick Motor FlexiSaver menyediakan perlindungan setahun untuk kehilangan atau kerosakan pada kenderaan dan tawaran perlindungan kemalangan peribadi percuma sehingga RM15,000 untuk pemandu dan penumpang.

Ditawarkan secara dalam talian, pelan ini juga menyediakan program bantuan 24 jam untuk khidmat tunda kerosakan tanpa had.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:39 PM