ANTARA petugas kesihatan yang membantu dalam mengekangan penyebaran Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA petugas kesihatan yang membantu dalam mengekangan penyebaran Covid-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


TAKAFUL Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mendermakan RM250,000 kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menerusi kempen Bantuan Kemanusiaan Covid-19 yang dilancarkan Kumpulan Media Prima bagi membantu kerajaan merawat pesakit Covid-19.

Sumbangan oleh syarikat insurans Islam pertama di Malaysia itu akan digunakan untuk membeli peralatan dan bekalan perubatan kritikal diperlukan untuk menjaga pesakit serta petugas barisan hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, penyertaan mereka di dalam kempen itu seiring falsafah korporat syarikat untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif Kumpulan Media Prima mengumpul sumbangan daripada orang ramai terutamanya syarikat korporat untuk membeli dan membekalkan keperluan perubatan seperti sut perlindungan, penutup mulut dan hidung, kit ujian dan ventilator.

“Kami amat berbesar hati bekerjasama dan menjadi sebahagian daripada inisiatif pengumpulan dana oleh Media Prima dalam keadaan perniagaan yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Takaful Malaysia harus bertindak segera mengikut keperluan komuniti dengan menyediakan bantuan kewangan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 berikutan kes jangkitan baru yang berterusan.

“Kami berharap sumbangan itu dapat membantu masalah kekurangan bekalan perubatan dihadapi hospital kerajaan yang terbabit saringan dan rawatan pesakit Covid-19,” katanya.

Dalam keadaan sukar ini, Mohamed Hassan berkata, Takaful Malaysia menawarkan penangguhan bayaran caruman takaful keluarga selama tiga bulan kepada peserta layak yang terjejas dari segi kewangan berikutan penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, pihaknya turut menawarkan perlindungan lanjutan percuma melalui manfaat pelan Takaful myClick MozzCare yang baru diperkenalkan tanpa kos tambahan untuk pembayaran tunai sekaligus sehingga RM2,000 jika orang dilindungi didiagnosis virus itu.

Katanya, pihaknya juga menyediakan perlindungan perbelanjaan hospital yang ditanggung tertakluk kepada had manfaat sijil sekiranya kakitangan ahli Pelan Manfaat Pekerja didapati positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 2:11 PM