PENGERUSI Digital Nasional Berhad merangkap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Wira Asri Hamidon (tiga, kiri) bergambar ketika melawat pameran sempena Majlis Ketersediaan Perkhidmatan Komersial 5G di Depot Sentul Park hari ini. Turut serta Pengarah Urusan YTL Power International Bhd, Datuk Yeoh Seok Hong (kiri) dan Wing K Lee (dua, kanan). FOTO Bernama
PENGERUSI Digital Nasional Berhad merangkap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Wira Asri Hamidon (tiga, kiri) bergambar ketika melawat pameran sempena Majlis Ketersediaan Perkhidmatan Komersial 5G di Depot Sentul Park hari ini. Turut serta Pengarah Urusan YTL Power International Bhd, Datuk Yeoh Seok Hong (kiri) dan Wing K Lee (dua, kanan). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: YTL Communications, melalui perkhidmatan telekomunikasi YES, melancarkan perkhidmatan 5Gnya di pasaran terpilih di Lembah Klang mulai hari ini, menjadikannya syarikat telekomunikasi Malaysia pertama yang berbuat demikian, sempena pelancaran perkhidmatan 5G Malaysia oleh Digital Nasional Bhd (DNB) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Wing K Lee berkata, inisiatif utama oleh kerajaan menerusi DNB ini akan memacu negara ke arah masa depan digital dan terhubung.

"Kewujudan YES untuk menjadikan pengalaman seharian lebih mudah dan lebih baik bagi semua orang, dengan memanfaatkan teknologi yang mengutamakan masa depan, ditambah dengan aplikasi dunia sebenar.

"Kami memainkan peranan dalam membantu Malaysia mencapai potensi sepenuhnya dengan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses 5G, dengan menyediakan akses 5G dan peranti berdaya 5G yang tersedia dengan pelan yang tiada tandingan," katanya dalam sidang media pada pelancaran itu di sini, hari ini.

Bersempena dengan pelancaran 5G di Malaysia, Lee berkata, YES melancarkan siri Pelan YES #FirstTo5G khas yang merangkumi akses 5G tanpa had sehingga 1 April, 2022.

"Pelanggan yang mendaftar untuk mana-mana pelan ini akan memperoleh pengalaman teknologi mudah alih generasi kelima dan terkini, yang menawarkan kelajuan lebih tinggi, liputan yang lebih dipercayai, mengurangkan kependaman, dan kapasiti rangkaian yang hebat dengan telefon yang disokong 5G," katanya.

Kawasan liputan 5G semasa termasuk Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian pusat bandar Kuala Lumpur, dengan rancangan untuk berkembang ke seluruh Lembah Klang menjelang akhir 2022.

Lee berkata, YES sedang bekerjasama dengan gergasi teknologi global merentas industri untuk membawa inovasi bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia, termasuk CloudMinds, Zoom, Tencent Lenovo dan Qualcomm.

Melalui perkongsian ini, beliau berkata YES sedang mengintai peluang untuk membangunkan dan menggunakan penyelesaian 5G termaju di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 4:57 PM