Kapten Izham Ismail.
Kapten Izham Ismail.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail telah dilantik sebagai ahli lembaga gabenor (BoG) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

MAG dalam kenyataan hari ini menjelaskan pelantikan Izham, untuk penggal tiga tahun sehingga 2024, diumumkan semasa mesyuarat agung tahunan IATA ke-77 di Boston, Amerika Syarikat.

Izham dalam peranannya sebagai ahli BoG, akan bertanggungjawab menyampaikan arahan serta panduan dasar kepada jawatankuasa industri IATA dan badan-badan subsidiari mereka.

Mengulas mengenai pelantikannya, Izham berkata syarikat penerbangan di seluruh dunia masih bergelut daripada kesan pandemik Covid-19 dan kerugian dijangka berterusan sehingga 2022.

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan-rakan saya di BoG ke arah merangka jalan menuju pemulihan selain mendorong pertumbuhan dan pengembangan industri penerbangan di seluruh dunia," katanya.

Beliau juga terlibat secara aktif dalam badan-badan lain yang berkaitan dengan industri seperti Alliance Governing Board, jawatankuasa eksekutif Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik dan lembaga pengarah Tourism Malaysia.

IATA mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan di 120 negara , merangkumi 82 peratus trafik udara global dan memainkan peranan penting dalam membantu merumuskan dasar global mengenai isu-isu berkaitan penerbangan yang kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:37 PM